Tiada Penduduk Terjejas PKPD Di Tawau Tidak Terima Bantuan Bakul Makanan – MPT

TAWAU, 25 April : Majlis Perbandaran Tawau (MPT) sentiasa memantau kawasan yang terjejas di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 20 lokaliti dalam daerah itu dan menyalurkan bantuan.

Presiden MPT Arnold Joibi berkata oleh itu, tidak ada isu penduduk terjejas PKPD yang dipinggirkan daripada menerima bantuan bakul makanan.

“Sejumlah 8,572 bakul makanan telah diagihkan kepada lokaliti terjejas membabitkan sejumlah 7,372 ketua isi rumah sejak 1 April.

“Ini termasuk 540 bakul makanan yang diedarkan di lokaliti Kampung Muhibbah Raya (Jalan Morell) di mana enam individu ditahan kerana cuba mengadakan demonstrasi dengan mendakwa saudara mara mereka di sana tidak menerima bantuan itu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, keenam-enam individu ditahan kerana mengambil bahagian dalam demonstrasi yang diadakan bagi membantah PKPD di Kampung Muhibbah Raya dengan mendakwa penduduk di kawasan itu tidak menerima pertolongan dan bantuan yang secukupnya manakala seorang lagi bertindak menyerah diri di balai polis berhampiran berhubung insiden tersebut.

Arnold berkata memandangkan PKPD dilanjutkan di Kampung Muhibbah Raya hingga 8 Mei depan, bakul makanan tambahan akan dibekalkan ke lokaliti itu bermula esok (26 April).

“Bantuan itu juga akan merangkumi Bandar Sri Indah dan Kampung Titingan, yang turut menyaksikan PKPD bagi kedua-dua lokaliti dilanjutkan hingga 9 Mei,” katanya. 

Beliau berkata tindakan MPT itu adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard yang ketat kerana Tawau secara konsisten telah merekodkan jumlah tertinggi kes baharu COVID-19.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa PKPD di enam zon di Tawau berakhir hari ini seperti dijadualkan. 

Enam zon terbabit ialah Taman Cahaya, Jalan Tengku Osman, Kuarters Bomba Tawau, Jalan Mesra, Taman Golden Hill dan Taman Sri Bukit.  – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *