ADUN Sabah Nafi Terlibat Kes Tipu

Ahli Dewan Undangan Negeri Tempasuk, Mohd Arsad Bistari turut menafikan dakwaan itu di akaun media sosialnya. – Gambar Facebook

KOTA KINABALU: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah membuat laporan polis berhubung hantaran di media sosial yang mengaitkannya dengan kes penipuan berkaitan kerja melombong pasir.

ADUN Tempasuk Mohd Arsad Bistari berkata, beliau membuat laporan polis selepas melihat hantaran itu di satu laman Facebook pada Khamis.

Katanya, hantaran itu seolah-olah menggambarkannya sebagai terlibat dalam kes di Sungai Kuala Abai, Kadamaian, Kota Belud.

“Kenyataan itu tidak berasas dan bersifat fitnah,” katanya dalam kenyataan.

“Saya telah meminta polis membuat siasatan dan akan mengambil tindakan sewajarnya tidak lama lagi.”

Mohd Arsad berkata, beliau turut berunding dengan peguamnya mengenai kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang sengaja membuat kenyataan palsu berniat memalukannya.

Sebelum ini, sepasang suami isteri menggesa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan polis mendedahkan hasil siasatan susulan laporan dibuat mereka terhadap seorang ADUN yang juga bekas rakan perniagaan mereka.

Pasangan itu mendakwa telah dipecat daripada syarikat dikatakan milik ADUN itu tanpa pengetahuan dan persetujuan mereka. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost