444,926 Rakyat Sabah Sudah Daftar Penerima Vaksin

KOTA KINABALU: Seramai 444,926 individu sudah mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 di Sabah setakat semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah itu mewakili 15.2 peratus daripada populasi Sabah.

Katanya, pendaftaran terbanyak diterima menerusi aplikasi MySejahtera iaitu 401,150 orang, diikuti pendaftaran melalui laman web (43,522 orang) dan pendaftaran melalui talian vaksinasi (254 orang).

Mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa pertama di negeri itu, Masidi berkata, 52,056 orang sudah menerima suntikan dos pertama, dengan 42,726 penerima lengkap dua dos.

“Bagi PICK fasa dua, seramai 1,854 orang menerima suntikan dos pertama semalam (kelmarin), menjadikan jumlah kumulatif setakat ini adalah 7,397 orang,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan malam tadi.

Mengulas lanjut, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempadan dan Perumahan negeri berkata, 82 kes baharu Covid-19 direkodkan semalam, dan dua kematian masing-masing di Tawau dan Sandarkan.

Katanya, Tawau kekal mencatat kes baharu tertinggi iaitu 34 kes, diikuti Sandakan (14) dan Kota Kinabalu (10).

“Tujuh daerah mencatat kes satu angka, iaitu antara satu hingga lapan kes, manakala 17 daerah tidak merekodkan sebarang kes baharu,” katanya yang memberitahu Pitas dan Sipitang kembali dikelaskan zon hijau menjadikan keseluruhan tujuh daerah zon berkenaan.

Menurutnya, enam daerah zon merah Covid-19 iaitu Tawau, Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu, Tuaran dan Putatan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *