3 Kali Gempa Bumi Berlaku Di Ranau Bulan Ini, Penduduk Dinasihat Berjaga-Jaga

KOTA KINABALU: Penduduk di daerah Ranau dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga berikutan kejadian beberapa gempa bumi lemah yang dikesan di daerah itu sejak beberapa hari lalu.

Pakar geologi Sabah, Prof Dr Felix Tongkul, bagaimanapun berkata penduduk di daerah terbabit tidak perlu risau dengan kejadian itu yang terbaru berlaku tengah malam tadi.

Prof Dr Felix Tongkul

Katanya, ia adalah kejadian biasa yang berlaku di Ranau berdasarkan rekod gempa bumi sebelum ini yang banyak dikesan di sekitar daerah itu.

“Gempa bumi lemah yang berlaku malam tadi dan beberapa hari yang lalu di Ranau adalah kejadian biasa. Penduduk tidak perlu risau. Penduduk Ranau hanya perlu berjaga-jaga sahaja,” katanya dalam maklum balasnya ketika dihubungi, hari ini.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Jabatan Meteorologi, gempa bumi terbaru di daerah itu dikesan pada jam 12.02 tengah malam tadi dengan magnitud 2.5 skala Richter.

Ia adalah kejadian gempa bumi ketiga dikesan di Ranau dalam bulan ini selepas gegaran bermagnitud 2.8 dan 2.7 skala Richter pada 18 dan 19 April lalu.

Difahamkan, gegaran akibat gempa bumi lemah itu dapat dirasai di sekitar Ranau, khususnya di kawasan berhampiran pusat gempa, namun tiada laporan kemalangan atau kejadian tidak diingini berlaku.

Penduduk di Ranau sudah biasa berdepan dengan gegaran kecil gempa bumi terutama selepas gempa bumi berukuran 5.9 skala Richter berpusat di Gunung Kinabalu yang menggegarkan hampir seluruh Sabah pada 5 Jun 2015.

Gempa bumi yang mengorbankan 18 pendaki di Gunung Kinabalu dan menyebabkan pelbagai kerosakan harta benda itu menghasilkan lebih seratus gempa susulan yang berlarutan selama lebih setahun.

Sejak insiden itu, penduduk di Ranau sudah biasa dengan gegaran gempa bumi dan langkah berjaga-jaga sudah menjadi perkara rutin setiap kali berlaku gegaran.

Felix sebelum ini berkata, gempa bumi di daerah Ranau adalah perkara biasa berikutan kedudukannya dalam kawasan sesar aktif yang berpunca daripada aktiviti seismik atau pergerakan dalam bumi.

Malah, katanya gempa bumi bermagnitud kecil dijangka terus berlaku, namun tidak menyebabkan kerosakan serius, selain disifatkan sebagai baik untuk melepaskan tenaga tersimpan dalam bumi bagi mengelak gempa lebih besar.

Selain daerah Ranau, gempa bumi juga dikesan berlaku di daerah lain terutama di Lahad Datu, Kunak, Sandakan dan Kudat.

Selepas Ranau, Lahad Datu juga disifatkan sebagai daerah berisiko tinggi dilanda gempa bumi kuat berdasarkan rekod lalu pernah dilanda gempa bumi bermagnitud 6.2 skala Richter iaitu pada 1976. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *