DBKK Sita 29 Kenderaan Terbiar Di Kawasan Awam

Salah sebuah kenderaan terbiar yang dialihkan oleh DBKK di sini.

KOTA KINABALU: Sebanyak 29 kenderaan tersadai di kawasan awam di sekitar Kampung Likas, di sini, disita dalam satu operasi yang dijalankan sejak dua minggu lalu.

Pengarah Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Abdul Mukti Muchlish berkata, semua kenderaan yang dibiarkan itu menjadi kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil Anti Sampah Sarap DBKK 1984 (Pindaan 2005).

Katanya, setakat ini, pihaknya mengesan sebanyak 46 kenderaan yang terbiar dan sudah diberikan notis arahan untuk dialihkan.

“DBKK sudah mengeluarkan notis arahan kepada semua pemilik kenderaan untuk mengalihkan kenderaan mereka sejak dua bulan lalu.

“Setakat ini, 17 kenderaan dikenalpasti sudah dialihkan pemilik namun 29 lagi gagal membuat sebarang tindakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Mukti berkata, semua 29 kenderaan yang dialihkan DBKK akan dilupuskan dalam tempoh 30 hari sekiranya tidak dituntut.

Sementara itu Abdul Mukti berkata, usaha mengatasi masalah kenderaan tersadai sentiasa menjadi salah satu masalah yang menjadi perhatian DBKK.

Katanya, sepanjang tahun lalu, DBKK mengeluarkan 152 Notis dan hanya 82 daripada kenderaan berkenaan dialihkan oleh pemilik.

Salah sebuah kenderaan terbiar yang dialihkan oleh DBKK di sini.

“Sepanjang Januari hingga Mac tahun ini pula, DBKK sudah mengeluarkan 75 Notis kepada pemilik namun hanya 13 kenderaan dialihkan.

“Warga bandaraya diharap tidak meletakkan kenderaan tersadai di tempat awam sehingga menyebabkan kekotoran selain dikhuatiri menjadi punca tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya.

Menurutnya, penjagaan kebersihan dan kesejahteraan bandaraya adalah tanggungjawab bersama-sama semua pihak. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *