Bekalan Oksigen Ada 72 Jam Lagi

Kapal selam KRI Nanggala-402. FOTO fail EPA

JAKARTA: Bekalan oksigen dalam kapal selam Angkatan Laut Tentera Indonesia (TNI) yang hilang di perairan Bali, dijangka ada untuk 72 jam lagi.

Ketua Angkatan Laut TNI Laksamana Yudo Margono berkata, bekalan oksigen itu akan bertahan untuk sekurang-kurangnya tiga hari lagi.

“Jadi apabila hilang kontak semalam jam 3 (pagi), jadi sampai Sabtu, jam 3, cadangan oksigen masih ada,” katanya dalam perjumpaan bersama Menteri Pertahanan Prabowo Subianto, Panglima TNI Marsekal Hadi Tjahjanto dan Ketua Polis Indonesia Jenderal Listyo Sigit Prabowo di Bali.

Media sebelum ini melaporkan operasi pencarian kapal selam itu, diteruskan hari ini.

Ketika kejadian, kapal selam KRI Nanggala-402 buatan Jerman tahun 1978 itu, membawa 53 kru.

Ia dilaporkan hilang selepas terputus hubungan 4.30 pagi semalam di lokasi kira-kira 96 kilometer di perairan utara Bali, ketika sedang menjalani latihan torpedo.

Ketika ini, operasi pencarian membabitkan pelbagai agensi penguat kuasa Indonesia giat dijalankan,

Ia termasuk menggunakan lima kapal, KRI Raden Eddy Martadinata 331, KRI Gusti Ngurah Rai 332, KRI Diponegoro 365, KRI dr Soeharso 990, KRI Pulau Rimau 724 dan Helly Panther.

Selain itu, ia mendapat bantuan daripada beberapa negara termasuk Singapura dan Malaysia yang masing-masing menghantar kapal penyelamat kapal selam. – Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *