Lelaki Maut Kenderaan Terbabas Di Jalan Lintas

Keadaan kendaraan yang dipandu mangsa.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dipandu terbabas sebelum teruunam ke dalam parit dalam kemalangan sendiri, di Jalan Lintas Kepayan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, beberapa saksi kejadian mendakwa, mangsa Lee Kian Siang @ Alexander Lee, 61, dilihat memandu kenderaan Toyota Avanza itu secara laju sebelum tiba-tiba hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan mendapati kenderaan mangsa terus menjunam ke dalam parit di hadapan simpang keluar stesen minyak Shell di lokasi berkenaan.

Katanya, mangsa yang memandu seorang diri dipercayai dalam perjalanan dar Kampung Ganang, Kepayan menuju ke rumahnya di Kampung Kambau, Penampang.

“Akibat daripada kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) yang hadir membantu dilokasi kejadian.

“Pemandu tidak disyaki mabuk, namun sampel darah akan diambil semasa bedah siasat dijalankan untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis alkohol dan dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohd Zaidi berkata, setakat ini, siasatan mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian mangsa sendiri yang hilang kawalan semasa memandu.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost