COVID-19: 2,195 Kes Baharu, 8 Kematian Hari Ini

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan melaporkan 2,195 kes baharu Covid-19 berbanding 1,427 kes sembuh dan lapan kematian.

Ini menjadikan 353,822 pesakit pulih daripada keseluruhan 375,054 kes Covid-19 dengan 1,378 kematian direkodkan setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 19,854 kes aktif dengan 90 daripada 219 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada jumlah kes baharu itu, 10 ialah kes import dan 2,185 kes penularan tempatan yang membabitkan 1,837 warganegara serta 348 warga asing.

Katanya, Sarawak kembali mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi, iaitu 508 kes.

“Daripada jumlah ini, 372 kes (73.2%) daripada kluster dan saringan kontak rapat,” katanya dalam kenyataan.

Ia disusuli Selangor dengan 431 kes, Johor (387), Kelantan (332), Kuala Lumpur (176), Sabah (112), Negeri Sembilan (42), Perak (35), Kedah (30), Terengganu (16), Melaka (15), Pahang (15), Labuan (enam), Putrajaya (tiga) dan Perlis (tiga).

Masing-masing dua kematian dilaporkan di Kelantan dan Selangor, manakala satu kematian direkodkan di Sabah, Sarawak, Pulau Pinang serta Kuala Lumpur.

Lapan kematian itu semuanya membabitkan warganegara berusia 37 hingga 90 tahun yang semuanya mempunyai latar belakang penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, dislipidemia dan buah pinggang kronik.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *