358 PATI Warga Filipina Diusir Keluar Ke Zamboanga

Sebahagian daripada PATI ditahan di Depot Imigresen Sandakan sebelum diusir keluar ke Zamboanga, Filipina.

SANDAKAN: Seramai 358 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina diusir keluar ke Zamboanga, Filipina, dekat sini semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk Dr. Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, program penghantaran pulang PATI bagi siri 4/2021 ini turut mendapat kerjasama Kedutaan Republik Filipina yang diketuai oleh Konsul Leandro Luiz S. Manantan.

Beliau berkata, ia adalah penghantaran kedua PATI warga Filipina yang dilakukan JIM Sabah pada tahun ini. Untuk penghantaran pertama membabitkan 316 orang dengan jumlah keseluruhan PATI warga Filipina telah diusir keluar dari Sabah adalah 674 orang.

Secara keseluruhan seramai 916 orang PATI berjaya diusir pulang oleh JIM Sabah setakat ini.

“Semua PATI warga Filipina itu telah ditahan di Depot Imigresen Sandakan sejak tahun lalu dan mereka dihantar pulang melalui Pelabuhan Sandakan, Sabah ke Pelabuhan Zamboanga, Filipina.

“Kesemua PATI yang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Kesemua mereka juga telah selesai menjalani hukuman mengikut perundangan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Muhamad Sade berkata, setiap PATI juga sudah menjalani ujian saringan Covid-19 mengikut tempoh ditetapkan bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan Covid-19 sebelum penghantaran pulang dilaksanakan seiring dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, semua warga asing diingatkan agar masuk ke Sabah dengan menggunakan dokumen perjalanan yang sah.

Agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan ini.

Program penghantaran pulang ini adalah sebahagian daripada aktiviti berterusan proses pengusiran oleh JIM Sabah bagi tahanan yang ditempatkan di Depot Imigresen seluruh negeri ini.

JIM Sabah terus komited melakukan tindakan penguatkuasaan dan penghantaran pulang PATI setelah mereka melalui semua proses perundangan dan mendapat pengesahan daripada kedutaan masing-masing. – Utusan Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3677