
NABAWAN: Seramai 120 murid dari enam sekolah di Parlimen Pensiangan, termasuk dari kawasan terpencil, di sini, menerima barangan keperluan persekolahan dan kit kesihatan sumbangan Yayasan PETRONAS, semalam.
Sumbangan di bawah program Back To School 2021 (BTS 2021) itu disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup kepada wakil setiap sekolah di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Nabawan.
Majlis penyerahan itu turut disaksikan Ketua Operasi PETRONAS Sabah dan Labuan, Jasper Diego.
Yayasan PETRONAS dalam kenyataan medianya, berkata penerima sumbangan terdiri daripada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bahagia, SK Salarom, SK Pekan Nabawan, SK Tetagas, SK Sibangali dan SK Saliliran.
Setiap murid menerima dua unit pelitup muka tiga lapis yang boleh diguna semula, tuala kecil, sekotak sabun kertas, beg sekolah, botol air, buku nota aktiviti, bekas alat tulis dan dua set pakaian seragam sekolah dengan sepasang stoking serta kasut.
Sementara itu, Arthur berkata beliau amat menghargai keprihatinan Yayasan PETRONAS atas inisiatif menyumbangkan peralatan sekolah dan kit kesihatan kepada murid di kawasan pedalaman Sabah, khususnya di daerah ini.
Secara keseluruhan, seramai 3,750 murid sekolah rendah dari 132 sekolah di Sabah dan 200 murid dari 17 sekolah di Labuan menerima sumbangan BTS 2021 daripada Yayasan PETRONAS. – BH Online
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost