‘Jangan Main-Main Dengan Saya’

Pemangku Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak Rumah Amal Kasih Kingfisher, Likas pada majlis Sungkai Sabah FC di Pusat Persidangan Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, malam tadi. – Foto ihsan Facebook Sabah FC.

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi amaran kepada pemain Sabah FC supaya tidak lagi menonjolkan sikap negatif yang boleh menjejaskan imej dan prestasi pasukan itu.

Amaran beliau itu hadir susulan tindakan beberapa pemain Sabah FC baru-baru ini yang dilaporkan memboikot latihan berikutan dakwaan kelewatan pembayaran gaji sehingga tular di media sosial.

“Kita kena hentikan, cukup, cukuplah. Saya beri amaran yang terakhir,” katanya pada majlis Sungkai Sabah FC di Pusat Persidangan Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam tadi.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata beliau tidak boleh bertolak ansur dengan tindakan sedemikian dan mahu pemain menunjukkan semangat patriotik kepada pasukan dengan menunjukkan sifat kasih sayang, kesetiaan dan kecintaan.

“Jika tiada sifat-sifat kecintaan, ia boleh dianggap sebagai pembelot. Jangan main-main dengan saya. Saya tidak main politik apabila saya mahu rombak SAFA dan Sabah FC. Saya sudah melakukan banyak pengorbanan termasuk wang ringgit, masa dan pengetahuan. Namun tiada siapa yang tahu,” katanya.

Bung Moktar juga meminta pemain Sabah FC supaya mengutamakan kesatuan dalam pasukan dan tidak memikirkan soal kepentingan peribadi yang boleh menjejaskan pasukan.

“Matlamat kita bukan untuk menang semata-mata tetapi persembahan terbaik supaya penyokong berpuas hati. Jangan lagi ulangi sikap yang menjejaskan pasukan, sebaliknya Sabah FC perlu terus maju dan menjadi pasukan yang kuat. Perkara yang tidak sewajarnya jangan lagi ditimbulkan. Jangan belum main lagi, pasukan sudah kalah,” katanya.

Mengenai perlawanan menentang UiTM FC di Stadium Likas, Sabtu ini, Bung Moktar yakin Sabah FC mampu mengutip tiga mata penuh di halaman sendiri selepas berjaya mengikat Penang FC di laman lawannya itu sebelum ini. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *