Laluan Utama & Jalan Tikus Kampung Meruntum Diperketatkan

PENAMPANG: Semua laluan tikus di Kampung Meruntum yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak kelmarin, ditutup sepenuhnya dengan kawalan ketat pihak berkuasa.

Kawalan dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, sejak PKPD dikuatkuasakan di kampung berkenaan, pihaknya membuat penilaian keseluruhan membabitkan kawasan sekitar 0.22 kilometer yang membabitkan 1,795 penduduk dari 390 buah rumah.

“Berdasarkan penilaian itu kita sudah mengenal pasti laluan utama serta laluan tikus yang berpotensi digunakan oleh penduduk untuk keluar bagi mengelakkan diperiksa oleh pihak berkuasa.

“Kita sudah menutup semua laluan terbabit termasuklah di bahagian belakang perkampungan ini iaitu jalan air berikutan ianya kawasan terbuka ke laut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pemeriksaan di kawasan berkenaan, hari ini.

Menurutnya, bagi memastikan lagi keberkesanan pelaksanaan PKPD, pihaknya turut dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) yang bertanggungjawab membuat rondaan di kawasan laut.

Dalam pada itu, Haris berkata, penugasan PKPD di Kampung Meruntum berjalan seperti dirancang dan tiada sebarang kelakuan agresif yang dilakukan oleh penduduk kampung sepanjang PKPD dilaksanakan.

“Semua penduduk menunjukkan pematuhan tinggi di kampung ini dan saya nasihatkan agar keadaan ini berterusan sehingga arahan PKPD ditamatkan.

“Penduduk kampung juga dinasihatkan untuk duduk di rumah jika tiada urusan penting bagi mengelakkan penularan COVID-19 dan hanya mereka yang mempunyai urusan kerja dengan menunjukkan surat kebenaran atau pas kerja sahaja dibenarkan keluar dan masuk ke kawasan ini,” katanya. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *