GRS Tetap Mahu Semua Tuntutan MA63 Ditunaikan – Hajiji

Hajiji

KOTA KINABALU, 14 April : Sabah di bawah pentadbiran kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berpendirian agar semua perkara dan tuntutan termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat ditunaikan, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Katanya, beliau mengutarakan pendirian itu dalam Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan secara maya oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Beliau berkata perbincangan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mengenai perkara ini sedang berjalan dan kedua-dua pihak komited untuk mencari jalan penyelesaian. 

“Perkara ini tidak perlu diperbesarkan kerana yang penting kita telah pun memberi pandangan dan pendirian kita dan kerajaan Persekutuan telah memberi respons yang positif,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan Sabah juga harus mengambil kira komitmen Perdana Menteri secara terbuka dalam memberi jaminan untuk menilai dan berusaha mencari penyelesaian kepada semua tuntutan yang dikemukakan oleh kerajaan negeri.

MA63 merupakan perjanjian pada 9 Julai 1963 antara Persekutuan Tanah Melayu, United Kingdom, Sabah, Sarawak dan Singapura untuk membentuk negara baharu yang bersatu dinamakan Persekutuan Malaysia. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *