Suspek Cuba Rempuh Polis Di Jalan Papar Dikenalpasti

Anggota polis terpaksa mempertahankan diri dengan melepaskan tembakan ke arah pacuan empat roda yang cuba merempuh mereka.

KOTA KINABALU: Polis sudah mengenalpasti dua suspek yang nekad merempuh anggota polis ketika cuba ditahan membabitkan kes curi kenderaan di Kampung Dambai, Papar, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, pasukan forensik polis berjaya menimbulkan cap jari dan sedang mengesan suspek yang terbabit.

Pacuan empat roda dinaiki suspek ditemui di tepi jalan manakala dua suspek berjaya meloloskan diri.

“InsyaAllah dalam masa terdekat kita dapat menangkap suspek terbabit.

“Kita sudah kenal pasti dan minta mereka (suspek) serah diri,” katanya ketika ditemui media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas membabitkan tujuh pegawai kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Hazani turut memberitahu, suspek turut cedera dalam kejadian itu dan meminta klinik swasta atau kerajaan memaklumkan kepada polis sekiranya ada individu yang datang untuk mendapatkan rawatan ekoran kecederaan mencurigakan.

Katanya, Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Dalam kejadian semalam, dua penjenayah menaiki Toyota Hilux yang dipercayai dicuri cuba merempuh dua anggota sehingga memaksa polis melepaskan tembakan.

Bagaimanapun dalam kejadian pada 6.30 pagi itu, suspek berjaya meloloskan diri manakala salah seorang anggota polis turut cedera. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *