Tiada Bazar Ramadan Di Seluruh Sabah Tahun Ini

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak membenarkan aktiviti bazar Ramadan di Sabah tahun ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, keputusan itu dibuat berikutan jangkitan COVID-19 di negeri ini yang masih dalam keadaan tidak stabil.

Katanya,  beberapa kluster akibat penganjuran majlis sosial dan keramaian turut berlaku di samping tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang rendah dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, sebanyak 60 kes positif baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Sabah sebanyak 55,294 kes.

Bagaimanapun katanya, tiada kes kematian dan kluster baharu direkodkan.

“Kerajaan negeri juga bersetuju untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokasi iaitu Kampung Lebak Moyoh dan Kampung Siasai Tamu Kota Belud yang dijadualkan tamat pada 8 April 2021.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan baki kes aktif di lokaliti Kampung Lebak Moyoh terkawal dan semua kes positif menerima rawatan manakala kontak rapat diasingkan serta dipantau sehingga hari ke-14,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, KKM turut mengesahkan baki kes aktif di lokaliti Kampung Siasai Tamu terkawal dengan kes terakhir dilaporkan pada 22 Mac sebanyak lima kes. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3791