Demi Ilmu, Anak Sabah Sanggup Merantau Ke Semenanjung Seawal Usia 13 Tahun

KUALA LUMPUR, 7 April : Peribahasa ‘Alah Bisa Tegal Biasa’ mungkin paling sesuai diberikan kepada anak-anak Negeri di Bawah Bayu yang sanggup berpisah dengan keluarga pada usia amat muda semata-mata meneruskan cita-cita, merantau ke Semenanjung untuk menuntut ilmu.

Hakikatnya, bukan bagi ratusan anak-anak tajaan Yayasan Sabah (YS) pada usia 13 tahun ini untuk  mengharungi pelbagai dugaan melanjutkan pelajaran peringkat menengah di tempat baharu yang mungkin serba-serbi berbeza dengan kampung halaman.

Namun, berbekal kesabaran, keberanian, sikap berdikari dan semangat tidak mudah mengalah, ratusan pelajar Sabah yang ditempatkan di sekolah menengah terpilih di seluruh pelosok Semenanjung ini tidak mensia-siakan bantuan YS dan berjaya menamatkan pelajaran sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Seorang pelajar alumni tajaan YS, Jasfirlanny Kaat, 18, dari Keningau, mengakui melalui bantuan pendidikan itu beliau memperoleh banyak manfaat selain dapat meneruskan pengajian dan mengejar impian dan cita-citanya.

“Apabila disediakan bantuan sebegini, ia akan melancarkan langkah saya untuk mengejar impian dan cita-cita serta berbakti kepada Sabah di samping menambah ilmu pengetahuan ketahanan diri apabila menjadi perantau di Semenanjung pada usia muda.

“Sekiranya ada masalah perbelanjaan atau keperluan sekolah tidak mencukupi, saya akan maklumkan kepada YS dan mereka akan penuhi segala keperluan malah jika lemah dalam subjek tertentu YS akan sediakan kelas tambahan,” kata Jasfirlanny kepada Bernama baru-baru ini.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Victoria Kuala Lumpur itu berkata, tajaan YS itu juga dapat mengurangkan beban ibu bapanya yang hanya bekerja sendiri di ladang kelapa sawit untuk menanggung kos pembelajarannya.

Justeru, bagi Jasfirlanny peluang keemasan yang disediakan kerajaan Sabah kepadanya itu harus dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk membantu mengeluarkan keluarganya daripada kepompong kemiskinan.

Dalam pada itu, alumni Sekolah Menengah (SM) Sultan Abdul Halim, Kedah, Rabiahtul Adabiyah Ammirullah,18, yang berasal dari Lahad Datu juga mengakui kekok dan mengalami kejutan budaya apabila pertama kali menjejakkan kaki di negeri utara Semenanjung itu. 

“Saya alami kejutan budaya daripada segi bahasa dan mengambil masa setahun untuk biasakan diri dengan ‘loghat’ Kedah. Pada awalnya ia agak mencabar sehingga rasa mahu menangis, namun kawan-kawan sangat mesra dan banyak menolong, yang penting perlu kerap bergaul dengan rakan-rakan pelajar tempatan,” katanya yang fasih berbicara dalam loghat utara.

Bagi bekas pelajar aliran Sains Tulen Agama dari SMK Agama Yan, Kedah, Abdul Rahman Jesaleh, 18, yang berasal dari Lahad Datu pula mengakui faktor bahasa menjadi kekangan utama belajar di negeri orang namun pepatah dipegangnya ‘jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya’.

“Loghat Kedah agak sukar difahami, kadang-kala cikgu ajar pun saya tidak faham tetapi lama-kelamaan ia bukan lagi menjadi cabaran besar kerana sekarang saya sudah lebih mahir berbanding ketika masih ‘junior’,” katanya.

Abdul Rahman yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik kini boleh tersenyum bangga kerana berjaya menamatkan pelajar tahap sekolah menengahnya di Kedah yang penuh dengan kenangan indah sebagai pelajar perantauan.

Berkongsi cerita mengenai dedikasi YS menjaga kebajikan pelajar tajaannya di Semenanjung dalam memastikan objektif tajaan itu tercapai, Jasfirlanny, Rabiahtul Adabiyah dan Abdul Rahman mengakui mereka dijaga ibarat ‘menatang minyak yang penuh’.

Audrey Claire Albert, 18, yang berasal dari Kota Kinabalu pula berkata YS banyak menganjurkan program seperti lawatan sambil belajar dan program motivasi yang bermanfaat dari aspek pembinaan jati diri serta melatih untuk hidup berdikari ketika berada di perantauan.

“Program-program ini sangat berguna kerana kami berkumpul bersama-sama dan menjadi akrab dan sepanjang lebih lima tahun mengikuti program-program ini, saya rasa kami pelajar dapat membina keyakinan diri berhadapan dengan cabaran ketika menuju alam dewasa ini,” ujar bekas pelajar SM Sains Muzaffar Syah di Melaka itu.

YS membelanjakan kira-kira RM7,000 bagi setiap pelajar tajaannya setahun termasuk untuk penerbangan, yuran, wang saku, pakaian, program cuti sekolah dan pengurusan.

Agensi kerajaan Sabah itu ditubuhkan melalui Enakmen No. 8, Dewan Undangan Negeri Sabah pada 1966 dengan objektif menyediakan biasiswa dan pinjaman kepada pelajar yang memerlukan dan bagi pelajar-pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1508