Sabah Guna Dialek Tempatan Galak Daftar Vaksin

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menyampaikan sumbangan kotak makanan daripada Maxis kepada penduduk Kampung Bolong di Tuaran. – Foto JKM

TUARAN: Sabah akan menggunakan dialek tempatan bagi memperhebatkan usaha menarik minat rakyat negeri itu mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kata Ketua Menteri Hajiji Noor.

Beliau berkata, pegawai Jabatan Penerangan memasuki kampung di kawasan pedalaman dan luar bandar Sabah untuk memberi penjelasan mengenai vaksin dalam pelbagai bahasa kepada penduduknya.

“Kalau mereka masuk ke Kampung Dusun mereka gunakan bahasa Dusun dan di kampung Bajau, mereka gunakan bahasa Bajau Samah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis penyampaian sumbangan amal bantuan bakul makanan anjuran syarikat telekomunikasi Maxis di Dewan Terbuka Masjid Haji Noor, Kampung Serusup.

Hajiji mengakui pendaftaran rakyat Sabah dalam program vaksinasi masih di tahap rendah, seperti didedahkan oleh menteri penyelaras program itu, Khairy Jamaluddin, baru-baru ini, namun beliau yakin isu itu dapat diatasi dalam tempoh terdekat.

“Walaupun (pendaftaran program vaksinasi) di tahap rendah, ini bukan bermakna mereka (rakyat) tidak mahu mendaftar. Kita juga masih mempunyai banyak masa.

“Pemberian vaksin ini dijalankan secara berfasa di daerah dan wilayah di Sabah, jadi saya yakin mereka akan mendaftar kerana vaksin ini adalah untuk melindungi diri mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata, kerajaan negeri menyalurkan lebih RM97 juta kepada 324,573 penerima melalui program Bantuan Prihatin Covid-19 2.0 setakat semalam.

Selain itu, sebanyak 296,638 bakul makanan, atau kira-kira 93.93%, juga sudah diagihkan kepada penerima bagi tempoh sama.

“Kerajaan negeri tahun lalu memperuntukkan bantuan tambahan sebanyak RM160 juta dalam Bantuan Prihatin Covid-19 untuk mereka yang terkesan dengan wabak.

“Bantuan RM160 juta itu adalah tambahan kepada peruntukan segera sebanyak RM50 juta yang diluluskan oleh kerajaan negeri awal Oktober tahun lalu,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *