Polis Tahan Lelaki Terlibat Pergaduhan Di Jalan Kolam

Habibi (tengah) menunjukkan gambar suspek yang berjaya ditahan dalam satu serbuan di Kapayan, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Pemandu kereta jenis Honda yang menyebabkan seorang lelaki patah tujuh batang gigi dalam satu pergaduhan di kawasan lampu isyarat di Jalan Kolam pada Isnin lalu berjaya ditahan polis hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, lelaki warga Filipina berusia 35 tahun itu ditahan di Kapayan bersama kenderaan dan cota dipercayai digunakan ketika pergaduhan berlaku.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Hajiji Majinji berkata, tangkapan itu dibuat susulan kejadian pergaduhan membabitkan suspek dengan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun.

“Kejadian disebabkan perselisihan faham di jalan raya di mana ketika mangsa memandu keretanya dipotong secara tiba-tiba tanpa ‘signal’ oleh suspek yang menaiki Perodua Alza.

“Tidak berpuas hati dengan kejadian itu, kedua-dua suspek dan mangsa bertindak keluar dari kenderaan dan berlaku perselisihan faham antara mereka.

“Suspek kemudian mengeluarkan objek keras dipercayai cota dan memukul mangsa sehingga cedera parah. Mangsa kemudian dibawa ke hospital dan patah tujuh batang gigi akibat kejadian itu,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Sepetang Bersama Media, hari ini.

Susulan kejadian itu, Habibi berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku cota terbabit adalah di bawah pemilikannya.

“Suspek tiada rekod jenayah namun siasatan lanjut masih dilakukan mengikut Seksyen 327 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera.

“Suspek akan direman esok untuk tujuan siasatan lanjut manakala mangsa kini sudah sedarkan diri serta dalam keadaan stabil,” katanya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *