Dipenjara 30 Bulan Sebabkan Kematian Pengurus Ladang

Tertuduh (dua dari kiri) Sharizan Salim, 36, dihukum penjara 30 bulan dan denda RM5000 atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang pengurus ladang, April tahun lalu.- Gambar Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara 30 bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Tawau di sini, hari ini atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang pengurus ladang, April tahun lalu.

Majistret Dzul Elmy Yunus menjatuhi hukuman itu terhadap Sharizan Salim, 36, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menunggang secara merbahaya dan melulu sehingga menyebabkan kematian A Yogaruban, 26, jam 9.30 pagi, 28 April lalu.

Tertuduh yang tidak memiliki lesen memandu didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Merotai-Bombalai, ketika menunggang motosikal dan menyebabkan kemalangan iaitu dengan melanggar motosikal ditunggang mangsa.

Mangsa terseret sejauh 17 meter sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Terdahulu Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau Asisten Superintendan Joan Lee memohon mahkamah menjatuhi hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya bagaimanapun memohon hukuman ringan memandangkan dia sudah hilang punca pendapatan selain menanggung isteri dan anak kecil.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan tiga bulan jika gagal membayar denda selain hilang kelayakan untuk mendapatkan lesen memandu selama tiga tahun. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *