Pengunjung Dan Peniaga Tamu Manggatal Daftar Terima Vaksin Covid-19

Fredoline Juil

KOTA KINABALU: Kerinduan terhadap suasana meriah tamu sebelum pandemik COVID-19 antara penyebab utama para peniaga dan pengunjung Tamu Pekan Manggatal mendaftar dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) secara manual dan juga melalui aplikasi MySejahtera secara sukarela pada Ahad.

Seorang peniaga, Mardea Poliang, 41, berkata, dia berasa lega setelah berjaya mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.

“Saya bersyukur kerana berjaya mendaftar sebagai penerima vaksin dalam program ini memandangkan sebagai peniaga, saya sentiasa terdedah dengan jangkitan yang boleh menyebabkan saya dijangkiti atau menjangkiti pembeli.

“Pada mulanya saya fikir imunisasi ini hanya untuk warganegara Malaysia sahaja, tetapi selepas mendengar hebahan dan penerangan yang diberikan oleh kakitangan Jabatan Penerangan barulah saya tahu bahawa pemegang pasport seperti saya juga boleh mendaftar,”katanya.

Bagi salah seorang penduduk kampung yang hadir ke program berkenaan, Fredoline Juil, 65, berkata, dia tidak sabar untuk ‘bebas’ dari pendemik COVID-19.

Mardea Poliang

“Selepas lebih setahun hidup dalam ‘ketakutan’, saya melihat program pemberian vaksin ini sebagai harapan baru untuk saya kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

“Saya berterima kasih kepada Jabatan Penerangan Negeri Sabah yang menganjurkan program hari ini kerana ia amat membantu kami untuk mendaftar memandangkan agak sukar membuat pendaftaran di sesetengah perkampungan di sini kerana ada dalam kalangan masyarakat yang tidak menggunakan telefon pintar selain tiada liputan talian telefon dan internet yang baik.

“Sebaik sahaja dimaklumkan ada kaunter pendaftaran dibuka semasa Tamu di Pekan Inanam pada minggu lalu, saya terus mendaftarkan diri dan hari ini saya datang sekali lagi untuk mendaftarkan isteri pula,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Tamu Pekan Manggatal, Renddy @ Kimus Onsih, 57, berharap para peniaga di tamu berkenaan mengambil peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk mendaftar bagi memastikan rantaian jangkitan COVID-19 dapat diputuskan.

“Tamu adalah medan pertemuan orang ramai untuk membeli keperluan harian. Oleh itu, saya berharap para peniaga menjalankan tanggugjawab mendaftar sebagai penerima vaksin bagi keselamatan diri dan juga pelanggan.

“Saya akan memastikan lebih 900 orang peniaga yang berada di bawah jagaan saya untuk mendaftar demi kebaikan bersama,” tegasnya.

Program bermula pada jam 7 pagi itu mendapat kerjasama daripada pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Unit Promosi Kesihatan, Pejabat Kesihatan Daerah Kota KInabalu, Majlis Keselamatan Negara, Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) serta ketua-ketua masyarakat setempat.

Hadir sama pada program berkenaan adalah Pemimpin Pembangunan Masyarakat kawasan Inanam, Datuk William Majimbun dan Pegawai Penerangan Daerah Kota Kinabalu, Hasmawati Karodda. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *