Tiada Penjarakan Sosial, 11 Orang Dikompaun RM10,000 Di Penampang

KOTA KINABALU: Seramai 11 orang dikenakan kompaun RM10,000 di Penampang kerana gagal mematuhi penjarakan sosial seperti ditetapkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Kesemua 11 kompaun itu dikeluarkan oleh Polis Kontinjen Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, penguatkuasaan SOP di perairan laut Sabah pula memperlihatkan dua tangkapan dibuat di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah.

Melalui operasi pemantauan dijalankan oleh Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), sebanyak 106 pemeriksaan dilakukan di kawasan Pantai Timur dan 48 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan.

Dalam perkembangan lain, kerajaan memutuskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Lingkudau, Keningau akan ditamatkan esok (28 Mac), seperti dijadualkan.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan 1,396 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 91 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“KKM mengesahkan baki kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan, kluster adalah terkawal serta kes terakhir yang dilaporkan ialah pada 23 Mac.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan negeri turut bersetuju menamatkan PKPD di Kampung Lingkudau, Keningau seperti yang dijadualkan, selaras dengan keputusan kerajaan persekutuan,” ujarnya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *