Kenduri Arwah Punca Penularan Kluster Baharu Di Kota Belud

KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 di Sabah kembali meningkat kepada 70 kes dengan dua kluster baharu dilaporkan hari ini.

Dua kluster baharu yang dikesan adalah kluster Siasai Tamu, Kota Belud dan kluster Tenegang, Kinabatangan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kluster Siasai Tamu, Kota Belud merekodkan 11 kes positif dimana, kes indeks membabitkan guru wanita pra-sekolah berusia 46 tahun.

“Kes indeks ini telah menghadiri majlis kenduri arwah di rumah kakaknya. Hasil saringan kontak rapat mendapati enam orang positif di rumah berkenaan. Empat kes positif dikesan di tempat kerja (pra-sekolah).

“Untuk kluster Tenegang, Kinabatangan pula merekodkan 20 kes positif dengan kes indeks membabitkan pekerja kilang sawit yang merentas zon bagi melawat keluarga.

“Kes indeks ini dikesan positif melalui saringan bergejala dan saringan kontak rapat mendapati 19 lagi kes positif dimana tujuh kes di tempat kerja dan 12 kes membabitkan ahli keluarga,” ujarnya.

Beliau berkata, daripada70 kes baharu hari ini, Keningau mencatatkan 22 kes diikuti dengan Kinabatangan (19), Kota Belud (9), Tawau (8), Kota Kinabalu (4), Kalabakan (4), Tenom (2) dan satu kes di Kunak dan Penampang.

Menurutnya, daripada 70 kes positif itu, sebanyak 28 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala enam kes, saringan kluster baharu dan sedia ada 22 kes dan 14 kes adalah dari lain-lain kategori.

Hari ini, seramai 85 orang pesakit telah sembuh, dengan bilangan kumulatif kes sembuh 53,619 orang. Manakala, kes kematian di Sabah kekal 387.

Setakat ini, sebanyak 54,470 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 400 orang pesakit sedang menerima rawatan, iaitu 162 orang di hospital dan 238 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Terdapat 21 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan enam orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital, Pusat Tahanan Sementara/Penjara dan PKRC di Sabah 4,212 katil dan peratus penggunaan adalah 9.5 peratus.

Untuk penerima vaksin pula, sehingga kini sejumlah 41,971 orang telah menerima vaksin fasa pertama bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Bagi suntikan dos kedua Pfizer-BioNTech pula, secara kumulatif seramai 1,378 orang telah menerima suntikan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *