KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Pemuda PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu menolak sebarang kerjasama dengan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan sekutunya atau mereka akan dihukum rakyat pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.
Beliau berkata, kenyataan itu bukan serangan peribadi namun berpendapat PH sudah cukup memberi banyak peluang kepada Mahathir pada PRU lalu.
“PH bukan saja menerima PPBM malah menjadikan Mahathir sebagai pengerusi PH serta calon perdana menteri daripada gabungan itu.
“Seperti yang saya pernah kata, Mahathir hanya kebetulan berada di tempat dan masa yang tepat, gelombang kebangkitan rakyat pada PRU lalu sudah sampai ke puncak yang menyaksikan penolakan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) pada masa itu.
“Kita telah berikan kerusi terbanyak kepada parti beliau namun hanya berjaya memenangi 13 daripada 52 kerusi Parlimen yang ditandingi. Maka tidak timbul beliau sebagai faktor kemenangan PH,” katanya dalam kenyataan.
Razeef berkata, ketika menjadi perdana menteri, Mahathir banyak menolak inisiatif dari beberapa kementerian termasuk untuk melaksanakan beberapa janji yang termaktub dalam manifesto PH.
“Apa yang sangat terkesan hingga ke hari ini adalah apabila beliau menyatakan ‘manifesto bukan kitab suci’ dan tidak ada keperluan untuk menunaikannya.
“Perkara ini menimbulkan kemarahan kepada rakyat yang akhirnya diterjemah melalui pilihan raya kecil (PRK) yang mana keputusannya menyaksikan parti penyandang kekal menang di kerusi ditandingi tetapi parti beliau dahulu iaitu PPBM tewas dalam dua PRK selain kehilangan kerusi DUN Semenyih serta Parlimen Tanjung Piai,” katanya.
Beliau berkata, Mahathir juga sanggup menggadaikan prinsip beliau dengan menarik seramai 13 Ahli Parlimen Umno untuk menyertai PPBM yang akhirnya menjadi pengkhianat kepada PH.
Katanya, kemarahan rakyat juga semakin memuncak apabila beliau cuba menggagalkan janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim seperti termaktub pada perjanjian muafakat PH yang ditandatangani semua pemimpin parti dalam PH.
“Langkah Sheraton juga tercetus dari idea beliau untuk membentuk kerajaan Melayu-Islam tanpa DAP, PKR dan Amanah sekaligus membatalkan janji dalam PH untuk beliau terus berkuasa.
“Gerakan ini bermula secara terbuka ketika kongres maruah Melayu diadakan setelah melihat beliau mendapat sokongan Umno dan PAS.
“Selain meletak jawatan sebagai perdana menteri secara gopoh tanpa berbincang dengan Majlis Presiden PH, beliau juga beberapa kali menggagalkan usaha untuk mendapatkan semula mandat rakyat kerana tidak bersetuju Anwar dicalonkan sebagai perdana menteri,” katanya.
Razeef berkata, Mahathir juga menggunakan taktik yang beliau mahir iaitu “pecah dan perintah” apabila mencadangkan Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri dan cuba memerangkap Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak dalam permainan kotornya yang akhirnya menimbulkan pergeseran antara komponen PH.
Katanya, perpecahan itu bukan sahaja menggagalkan usaha mendapatkan kembali mandat rakyat malah menyebabkan kerajaan Warisan Plus tumbang di Sabah.
“Maka saya menasihatkan bukan sahaja PKR, malah rakan dari DAP dan Amanah agar menolak kerjasama dengan Mahathir yang jelas akan menyebabkan rakyat menolak PH pada PRU15.
“Masuk ke dalam lubang ular yang sama sebanyak dua kali hanya menunjukkan PH masih belum matang untuk memimpin negara ini dan saya percaya jika PH masih ingin bersama Mahathir, rakyat akan menghukum PH melalui peti undi,” katanya. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost