Covid-19: 5 Daerah Masih Zon Merah Di Sabah

KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 di Sabah menurun kepada 45 kes, berbanding 60 kes semalam.

Hari ini, Kota Belud bertukar dari zon jingga kepada zon merah, menjadikan bilangan daerah dalam zon merah bertambah kepada lima daerah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, tiada sebarang kematian dan kluster baharu dilaporkan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 11 daerah mencatatkan kes baharu, dengan Kota Kinabalu mencatatkan kes dua angka dan daerah-daerah lain mencatatkan kes satu angka.

Beliau berkata, daripada 45 kes baharu hari ini, Kota Kinabalu mencatatkan 12 kes diikuti dengan Kota Belud (6), Tawau (6), Keningau (5), Putatan (4), Sipitang (4), Sandakan (3) dan dua kes di Nabawan.

Manakala, satu kes dilaporkan di Papar, Kunak dan Lahad Datu.

Menurutnya, daripada 45 kes positif itu, sebanyak 21 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 10 kes, saringan kluster sedia ada sembilan kes dan lima kes adalah dari lain-lain kategori.

Hari ini, seramai 24 orang pesakit telah sembuh, dengan bilangan kumulatif kes sembuh 53,534 orang. Manakala, kes kematian di Sabah kekal 387.

Setakat ini, sebanyak 54,400 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 410 orang pesakit sedang menerima rawatan, iaitu 154 orang di hospital dan 256 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Terdapat 18 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan empat orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital, Pusat Tahanan Sementara/Penjara dan PKRC di Sabah 4,253 katil dan peratus penggunaan adalah 9.64 peratus.

Untuk penerima vaksin pula, sehingga kini sejumlah 41,958 orang telah menerima vaksin fasa pertama bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Bagi suntikan dos kedua Pfizer-BioNTech pula, secara kumulatif seramai 1,235 orang telah menerima suntikan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *