COVID-19: 1,384 Kes Baharu, 6 Kematian

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan melaporkan 1,384 kes baharu Covid-19 dan enam kematian berbanding 1,058 pesakit sembuh.

Ini menjadikan 319,842 kes pulih daripada keseluruhan 335,540 kes Covid-19 dengan 1,244 kematian direkodkan setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 14,454 kes aktif dengan 62 daripada 148 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada jumlah kes baharu itu, katanya, 9 kes import dan baki 1,375 kes ialah penularan tempatan, yang terdiri daripada 870 warganegara dan 505 warga asing.

Selangor masih mencatatkan jumlah kes baharu tertinggi, iaitu 625 kes.

“Daripada jumlah ini, 557 kes (89.1%) daripada kluster dan saringan kontak rapat,” katanya dalam kenyataan.

Ia diikuti Johor (161), Sarawak (140), Pulau Pinang (100), Kelantan (65), Kuala Lumpur (64), Sabah (60), Kedah (51), Melaka (45), Pahang (38), Labuan (14), Negeri Sembilan (10), Terengganu (7) dan Perak (4).

Putrajaya dan Perlis tidak melaporkan sebarang kes baharu.

Noor Hisham berkata, masing-masing dua kematian dilaporkan di Sarawak dan Selangor, manakala baki dua lagi di Kelantan serta Johor.

Katanya, semua kes kematian itu membabitkan warganegara berusia 56 hingga 85 tahun, dengan lima daripadanya mempunyai latar belakang penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *