Ops Noda: Dua Wanita Tawar Khidmat Seks Dicekup

Dua wanita ditahan selepas didapati menjalankan aktiviti pelacuran di sebuah hotel di jalan Sulaman. – Foto PDRM

KOTA KINABALU: Dua wanita warga asing yang dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran di sebuah hotel di Jalan Sulaman, ditahan dalam operasi Ops Noda, di sini, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali, berkata wanita berusia 22 dan 28 tahun itu ditahan polis jam 2.30 petang dalam operasi yang dijalankan sepasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah, Cawangan Pencegahan Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua mereka disyaki menjalankan kegiatan pelacuran melalui aplikasi dalam talian iaitu WeChat dan MiChat untuk mempromosi diri.

“Polis merampas tiga telefon pintar yang dipercayai digunakan untuk mencari pelanggan. Selain itu, polis menemui dua kondom belum diguna bersama satu kondom yang sudah digunakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hazani berkata, polis turut merampas satu kad bilik hotel dan sejumlah wang tunai.

Katanya, kedua-dua suspek dan rampasan, kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *