Tiga Mangsa Culik Abu Sayyaf Diselamatkan

Difahamkan, semua mangsa diselamatkan selepas bot yang dinaiki mereka bersama seorang ahli Abu Sayyaf di selatan perairan Pulau Tawi-tawi dikatakan mengalami kebocoran.

KOTA KINABALU: Tiga mangsa culik kumpulan Abu Sayyaf yang dilaporkan berlaku di Perairan Pulau Tambisan, Sandakan, di sini, tahun lalu, berjaya diselamatkan polis Filipina, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, ketiga-tiga warga Indonesia terbabit diselamatkan selepas bot yang dinaiki mereka bersama seorang ahli Abu Sayyaf di Selatan perairan Pulau Tawi-Tawi berkenaan dikatakan mengalami kebocoran.

Difahamkan, pasukan polis Filipina yang menerima panggilan kecemasan itu terus melancarkan operasi menyelamat sebelum membawa keempat-empat mangsa ke pangkalan pihak berkuasa negara jiran berkenaan.

Menurut sumber, hasil siasatan yang dijalankan polis Filipina mendapati salah seorang daripada mangsa yang diselamatkan sebenarnya adalah ahli kumpulan Abu Sayyaf.

Siasatan mendapati, tiga warga Indonesia terbabit adalah antara lapan mangsa culik yang dilakukan tujuh lelaki bersenjata pada 15 Januari 2020.

Bagaimanapun, tiga daripada mereka dilepaskan tanpa diketahui puncanya manakala seorang lagi mangsa terbunuh ketika kejadian berbalas tembakan dengan tentera Filipina.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan insiden berkenaan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *