Peter Anthony Gagal Pindah Kes Ke Mahkamah Sabah

Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Peter Anthony.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Peter Anthony yang didakwa atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen, di sini, ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

Perkara itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, ketika ditemui media selepas selesai pendengaran permohonan itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin.

Terdahulu, Wan Shaharuddin, memberitahu bahawa permohonan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu ditolak kerana Mahkamah Tinggi di sini tidak mempunyai bidang kuasa untuk memindahkan kes berkenaan ke Sabah.

“Sehubungan itu, perbicaraan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur akan bermula 5 April ini.

“Mahkamah turut menetapkan 6,7,8,9 19,20,21,22,23 April untuk perbicaraan kes,” katanya.

Wan Shaharuddin berkata, pihaknya berkemungkinan memanggil seramai 12 saksi antaranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Peter, 50, didakwa sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen, iaitu surat Pejabat Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertarikh 11 Julai 2014.

Dokumen itu didakwa mempunyai pernyataan palsu kononnya UMS mengadakan kolaborasi dengan syarikat Asli Jati Engineering, yang menyaksikan syarikat itu bersetuju membiayai dan mendirikan sebuah pusat Latihan Teknikal (M&E), serta pihak UMS menyokong penuh permohonan syarikat terbabit bagi melaksanakan kerja-kerja secara rundingan terus.

Peter dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya pada 17 Julai 2014.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peter turut didakwa atas pertuduhan alternatif, iaitu menggunakan dokumen palsu sebagai tulen membabitkan dokumen sama bagi membiayai dan mendirikan sebuah pusat M&E di tempat dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 11 Jun tahun lalu, Peter didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, atas lima pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM8.75 juta berhubung pembelian tanah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Beliau juga dihadapkan ke mahkamah sama pada 18 Jun tahun sama, atas pertuduhan bersubahat dalam kes pecah amanah membabitkan pembelian tanah Risda bernilai RM15,545,400. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *