Kemasukan Pelabur Ke Sabah Lebih Mudah Dibawah GRS – Jeffrey

Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU: Kemasukan pelaburan ke Sabah dilihat bertambah lebih mudah dibawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) susulan langkah berterusan kerajaan dalam mengurangkan karenah birokrasi.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, selama ini, karenah birokrasi menjadi penghalang utama kepada kemasukan pelabur ke negeri ini.

“Saya bangga menyatakan dibawah pemerintahan kerajaan GRS, pelabur merasa lebih mudah untuk datang melabur di Sabah berikutan tindakan kerajaan mengurangkan ‘red tape’ yang sentiasa menjadi penghalang untuk menarik pelabur,” katanya selepas Majlis Makan Tengahari bersama Hyway Group (Malaysia) Sdn Bhd, di sini semalam.

Menteri Pertanian dan Perikanan ini berkata, kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan sektor swasta termasuk pelabur asing yang berminat untuk melabur di Sabah.

Beliau berkata, Sabah perlu menarik kemasukan pelabur asing dalam usaha membangunkan semula ekonomi bagi membantu mereka yang kehilangan pekerjaan.

“Apabila GRS mengambil alih kerajaan, kita berdepan dengan tugas berat untuk memulihkan semula ekonomi. Kita melihat penurunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah menurun dari 8.2 peratus kepada 0.5 peratus dalam tempoh dua tahun.

“Ekonomi semakin merundum malah, kedai banyak yang ditutup sebelum Covid-19 melanda.

“Walaupun negeri ini kaya dengan sumber asli, kita masih  lagi menjadi negeri termiskin dan kita perlu mengubah keadaan ini,” ujarnya.

Jeffrey berkata, kerajaan tidak mampu memulihkan ekonomi sendirian kerana bidang perniagaan dikuasai oleh sektor swasta.

Bagaimanapun, beliau merasa bertuah kerana pelabur masih melihat Sabah sebagai lokasi berpotensi untuk melabur terutama dalam industri pertanian dan makanan.

Misalnya, Sabah adalah pengeluar ketiga terbesar minyak sawit dunia dan negara ini adalah pengeluar terbesar koko, kopi dan makanan laut seperti timun laut dan rumpai laut.

Malah, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan beberapa pelabur yang berpotensi dan kesemua menunjukkan minat untuk membantu Sabah membangunkan infrastruktur dan meningkatkan kembali potensi pelancongan. Sabah mempunyai pantai yang bersih, lokasi selaman yang bertaraf dunia dan alam semulajadi yang eksotik.

“Dalam masa sama, dalam kita mengalu-alukan kedatangan pelabur, peniaga tempatan akan turut dibantu dan kerajaan memberi jaminan untuk tidak mengabaikan mereka. Ia kerana peniaga tempatan yang membantu Sabah mewujudkan suasana masyarakat yang vibrant.

“Bagi mempercepatkan usaha memulihkan ekonomi, kita perlu menyeimbangkan antara emas dan warisan kita,” ujarnya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *