Bina Kolam Takungan Tangani Masalah Bekalan Air

Penduduk University Apartment 1, Baizurah Basri, 40, menceritakan masalah dihadapi penduduk kepada Bung Moktar (baju merah).

KOTA KINABALU: Pembinaan kolam takungan air antara langkah penyelesaian jangka masa panjang bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar berkata, sehubungan itu, tanah seluas 1,000 hektar diperlukan di setiap daerah bagi membina kolam takungan air berkenaan.

“Kita jangkakan bekalan air dapat bertahan lebih lama jika adanya kolam takungan air ini. Malah, pada musim kemarau ia dapat bertahan sekurang-kurangnya dua bulan.

“Kos yang diperlukan untuk membina sebuah kolam takungan air kira-kira RM500 juta,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke kawasan perumahan University Apartment (UA), dekat sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Edward Lingkapo.

Lawatan berkenaan bagi meninjau situasi gangguan bekalan air yang sering dihadapi penduduk setempat di kawasan terbabit.

Dalam pada itu, Bung Moktar berkata, pembinaan projek Loji Rawatan Air Telibong Fasa Dua di Tuaran yang lewat dari jadual adalah punca bekalan air di UA sering terganggu.

Menurutnya, setakat ini projek berkenaan baru siap 30 peratus, sedangkan mengikut jadual ia sepatutnya sudah siap lebih 50 peratus.

“Kita sentiasa berhubung dengan pihak kontraktor dan mendesak supaya projek ini disiapkan segera memandangkan ramai penduduk terjejas akibat ketiadaan bekalan air.

“Boleh dikatakan ini adalah projek yang ‘sakit’ kerana sudah terlalu jauh lewat dari jadual sepatutnya.

“Mungkin kita kena cari syarikat penyelamat lain bagi memastikan masalah gangguan bekalan air di kawasan ini dapat diatasi,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *