Kerajaan Perlu Susun Semula Pembangunan Rumah Atas Air – Shafie

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri disaran untuk menyusun semula rancangan pembangunan rumah-rumah atas air di kawasan tebing laut dan kepulauan bagi memastikan insiden kebakaran dapat ditangani dengan baik.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, insiden kebakaran yang berlaku di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya semalam harus dijadikan iktibar bagi menyusun semula struktur rumah di pulau-pulau.

Ahli Parlimen Semporna ini berkata, dalam insiden semalam, mangsa kebakaran memaklumkan usaha memadamkan api mengambil sedikit masa kerana kemudahan yang tidak begitu lengkap.

“Jika dilihat di Semporna, kita mempunyai perkhidmatan Floating Bomba (Balai Bomba Atas Air) yang membolehkan operasi pemadaman kebakaran dapat dilakukan segera kerana adanya kemudahan prasarana.

“Kita harus melihat kemudahan sebegini dapat disediakan di kawasan lain pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui media selepas melawat mangsa kebakaran yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Sembulan, hari ini.

Mohd Shafie bertegur sapa dengan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya semasa melawat mangsa kebakaran Kampung Lok Urai, Pulau Gaya yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Sembulan.

Mohd Shafie berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan iaitu ADUN Tanjung Aru, Datuk Junz Wong dan ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari serta Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman turut sama dalam lawatan ini.

Mohd Shafie, yang juga ADUN Senallang ini berkata, pihaknya akan melihat bagaimana bantuan makanan dan penginapan dapat diberikan.

“Difahamkan mereka berada di PPS ini selama tiga hari dan selepas itu mereka terpaksa mencari tempat penginapan lain.

“Saya minta tadi supaya kalau boleh tambah lagi dua atau tiga hari bagi membolehkan sekurang-kurangnya dapat memberikan mereka tempoh mencari tempat berteduh.

“Memandangkan rumah mereka sudah terbakar, kita akan berusaha memastikan bantuan dapat diberikan kepada mangsa kebakaran ini,” ujarnya.

Dalam lawatan itu, Mohd Shafie turut melahirkan rasa simpati terhadap mangsa-mangsa kebakaran yang membabitkan hampir 400 orang kehilangan tempat tinggal.

Kebakaran di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya yang berlaku kira-kira 8 malam semalam mengakibatkan 73 buah rumah musnah sepenuhnya.

Tindakan pantas pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memadamkan api daripada merebak berjaya menyelamatkan 757 rumah daripada turut terbakar. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *