‘Sky Train’ Modenkan Perkhidmatan Kereta Api Sabah – Bung Moktar

Datuk Seri Bung Moktar Radin.

TUARAN, 11 Mac : Projek ‘Sky Train’ iaitu kereta api moden menghubungan kawasan sekitar Bandaraya Kota Kinabalu merupakan antara projek sedang diusahakan bagi memodenkan perkhidmatan kereta api Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata projek ‘Sky Train’ itu pada masa ini sedang dirancang termasuk kos dan pelan perlaksanaan, bagaimanapun antara laluan awal yang dikenal pasti ialah dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu ke pusat bandar raya dan ke Alamesra dekat sini.

“Beberapa pelabur yang berminat telah dikenal pasti dan beberapa siri perbincangan telah dilaksanakan untuk merencanakan projek ini dan projek ini diharap dapat dimulakan dalam masa terdekat.

“Projek ‘Sky Train’ ini bakal mengubah wajah Bandaraya Kota Kinabalu menjadi lebih dinamik dan menggalakkan ketibaan lebih ramai pelancong asing,” katanya dalam ucapan perasmian Sesi ‘Goal Setting’ Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Kerja Raya II Sabah Datuk Robert Tawik dan turut hadir Pengarah JKNS Leonard Stephen Poyong.

Bung Moktar berkata selain ‘Sky Train’ beberapa projek naik taraf dilaksanakan bagi memodenkan perkhidmatan itu temasuk menaik taraf landasan Tenom Lama ke Stesen Tenom sejauh 1.8km; dan mengganti penggalas kayu kepada konrit bagi landasan 22km dari stesen Beaufort ke stesen Hologilat.

Beliau berkata selain itu perolehan pelbagai aset serta jentera bagi memodenkan perkhidmatan itu juga sedang dibuat antaranya enam unit Diesel Multiple Unit (DMU) power cars dan dua unit lokomotif dijangka siap dalam tempoh 24 bulan ini.

“Tiga set DMU dan enam unit gerabak penumpang baharu juga dijangka disiapkan secara berperingkat dalam tahun ini…perolehan aset baharu menggantikan aset sedia ada yang usang dapat memastikan perkhidmatan lebih selesa dan konsisten,” katanya.

Selain itu, Bung berkata beberapa perancangan jangka panjang memperluas rangkaian perkhidmatan kereta api Sabah juga juga sedang dibincangkan antaranya menghubungkan rangkaian kereta api ke Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu.

“Landasan (kereta api) menghubungan Sandakan, Lahad Datu dan Tawau; serta Tenom, Keningau dan Kalabakan juga sedang dilihat dan kajian akan dibuat untuk mengembangkan rangkaian landasan ini,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *