Kenduri Akikah Cetus Kluster Jambatan 1 Bombalai

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan satu lagi kluster baharu Covid-19 berpunca daripada kenduri akikah yang diadakan di Kalabakan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 di Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kluster baharu terbabit mencatatkan sebanyak 15 kes.

“Pada hari ini, satu kluster baharu direkodkan iaitu Kluster Jambatan 1 Bombalai di Kalabakan merekodkan pertambahan empat kes baharu positif Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 15 kes.

“Kes indeks adalah wanita berusia 59 tahun yang tinggal di Kampung Jambatan 1 Bombalai dalam mukim Merotai di daerah Kalabakan yang dikesan positif melalui saringan bergejala di pusat perubatan di Tawau pada 26 Februari lalu.

“Hasil penelitian, kes indeks mengadakan kenduri akikah di kediaman beliau (Kampung Jambatan 1 Bombalai) pada 20 Februari lalu.

“Daripada 41 kontak rapat yang disaring sejak 1 Mac lepas, 14 orang disahkan positif. Pengesanan kontak rapat dan punca jangkitan masih giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri itu berkata, jumlah kes Covid-19 pada hari ini masih kekal mencatatkan dua digit.

Beliau berkata, berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah 61 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 53,736 kes dan tiada kematian direkodkan.

“Jumlah pesakit Covid-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital ialah 78 menjadikan jumlah kumulatif 52,546 orang.

“Seramai 547 orang pesakit sedang menerima rawatan iaitu 189 orang di hospital dan 358 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai statistik vaksinasi di Sabah, Masidi berkata, setakat ini, 2,484 orang menerima suntikan vaksin harian dos 1 menjadikan jumlah kumulatif 19,032 orang. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *