Kerajaan Lulus RM600 Juta Bina Jalan Hubungkan Tawau-Kalimantan, Indonesia

KOTA KINABALU: Kerajaan persekutuan meluluskan sejumlah RM600juta bagi pembinaan jalan menghubungkan Serudong di Kalabakan, Tawau dengan Simanggaris, Kalimantan Indonesia.

Ia termasuk pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di pintu masuk Serudong/Simanggaris.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Sabah perlu mengambil tindakan yang perlu bagi memastikan langkah kerajaan Indonesia memindahkan ibu negaranya dari Jakarta ke Kalimantan.

Dengan itu, Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) perlu memainkan langkah utama dalam memastikan projek itu dapat dilaksana dengan jayanya.

“Saya harap SEDIA akan terus memainkan peranan dalam merancang dan melaksana projek berimpak tinggi agar dapat menarik lebih ramai kemasukan pelabur ke negeri ini,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah SEDIA di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, hari ini.

Menteri Kewangan Negeri ini berkata, kelulusan projek itu dimaklumkan sendiri oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam perbincangan melalui persidangan video pada awal bulan ini.

Dalam pada itu, Hajiji juga mahu semua ahli-ahli lembaga pengarah supaya meneliti dan memberikan maklum balas mengenai tinjauan strategik Rangka Tindakan 2.0 Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang dibentangkan dalam mesyuarat tersebut.

Katanya, SEDIA juga bersedia mendapatkan sokongan bagi cadangan memperluaskan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar (SBCP) sebelum ianya dikemukakan Jabatan Perdana Menteri bagi kelulusan Kementerian Kewangan Persekutuan.

“Langkah memperluaskan pelabuhan kontena ini penting kerana ia mampu mengubah perdagangan dan perniagaan di rantau ini, tyerutama apabila SBCP ditransformasikan sebagai hab ‘transhipment’.

Antara perkara lain yang dibincangkan termasuk usaha Sawit Kinabalu Farm Product Sdn Bhd untuk mengwujudkan kilang pengeluaran daging premium dan sarang burung di Sabah Agro-Industrial Precinct (SAIP), Kimanis.

Hajiji berkata, anak syarikat Sawit Kinabalu itu akan melabur sebanyak RM4juta di SAIP dan ia dijangka akan mewujudkan 500 peluang pekerjaan serta memperoleh pulangan ekonomi yang baik menerusi aktiviti huluan.

Beliau turut mengalu-alukan dua ahli lembaga baharu iaitu Peguam Besar Negeri, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Noorliza Awang Alip.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong.

Selepas mesyuarat itu, Hajiji menyaksikan Perjanjian Persefahaman (MoU) antara SEDIA dan Sawit Kinabalu bagi membina kilang pengeluaran daging dan sarang burung di SAIP. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *