Potong Kepala Kucing, Penagih Dadah Dihukum Penjara 29 Bulan

Majistret membenarkan rayuan tertuduh, Jaferi Suman yang tidak diwakili peguam supaya hukuman penjaranya dilaksanakan mulai tarikh dia ditahan pada 5 Julai 2020 – Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret Kota Belud menjatuhkan hukuman penjara dua tahun lima bulan ke atas seorang lelaki yang mengaku bersalah membunuh seekor kucing dengan memotong kepala haiwan itu di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud, Julai tahun lalu.

Majistret Lovely Natasha Charles menjatuhkan hukuman itu terhadap Jaferi Suman, 32, yang didakwa mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Mengikut keterangan kes, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira 3 petang 3 Julai 2020 di depan anak pengadu yang juga pemilik kucing terbabit.

Susulan itu, pengadu terbabit membuat laporan polis keesokannya dan tertuduh ditahan pada 5 Julai 2020.

Kejadian itu turut menyebabkan dua anak pengadu trauma, selepas melihat tertuduh yang juga jiran mereka membunuh kucing terbabit menggunakan parang.

Mengikut keterangan kes, siasatan mendapati tertuduh ialah penagih dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau.

Terdahulu dalam rayuannya, Jaferi meminta hukuman itu dilaksanakan mulai tarikh dia ditahan, iaitu 5 Julai 2020 dan majistret membenarkan rayuannya.

Tertuduh tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa Mohd U’kasyah Hashim. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2689