Individu Dari Sabah Ke Semenanjung Tidak Perlu Ujian Saringan Covid-19

KOTA KINABALU: Kerajaan memutuskan semua individu dari Sabah yang ingin ke Semenanjung Malaysia tidak perlu lagi menjalani ujian sarigan Covid-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, individu dari Sabah tidak perlu lagi menjalani ujian RT-PCR atau RTK-Ag Covid-19 sebelum berlepas dari Sabah.

Bagaimanapun, individu dari Sabah yang ingin pergi ke Sarawak dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan perlu menjalani ujian RT-PCR COVID-19 dalam tempoh tiga hari sebelum berlepas dari Sabah. Keperluan ini selaras dengan ketetapan Kerajaan Negeri Sarawak dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana WP Labuan.

Masidi Manjun

Untuk pergerakan masuk ke Sabah pula, kerajaan membenarkan rakyat Malaysia dan pemegang MyPR serta suami atau isteri dan tanggungjawan mereka untuk masuk ke Sabah.

Turut dibenarkan masuk ke Sabah adalah pemegang pas-pas imigresen jangka panjang (warganegara & bukan warganegara), pemegang pas sementara yang sah tempoh meliputi individu yang bekerja di Sabah yang terdiri daripada anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan lantikan tetap/kontrak/interim/ anggota Badan Berkanun, pekerja sektor swasta serta tanggungan.

Selain itu, pelajar sedia ada dan pelajar baharu di Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta (IPTA/S) negeri Sabah serta penjaga dan pelajar di institusi negeri sama ada warganegara atau bukan warganegara turut dibenarkan masuk ke Sabah.

“Kerajaan turut membenarkan individu dan pasangan yang menghadiri tugas rasmi, mesyuarat, urusan kecemasan atau review di hospital, bernikah atau berkahwin serta pengangkutan darat (transporter) melalui jalan darat daripada Sarawak & WP Labuan.

“Ini adalah bagi kategori yang tidak dinyatakan wajib memohon kebenaran khas dengan merujuk kepada Panduan Kebenaran Masuk ke Sabah daripada Semenanjung Malaysia, Sarawak dan W.P. Labuan yang dikeluarkan oleh Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri.

“Maklumat lanjut berhubung syarat kemasukan boleh disemak dengan melayari sesawang https://hednp.sabah.gov.my/,” jelasnya.

Menurutnya, pergerakan semua individu yang dibenarkan masuk ke Sabah melalui pintu masuk udara, laut dan darat perlu menjalani ujian RT-PCR atau RTK-Ag COVID-19 dalam tempoh tiga hari sebelum perjalanan.

Hanya individu yang tidak bergejala dengan keputusan ujian negatif akan dibenarkan masuk ke Sabah. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *