Rentas Daerah Dibenarkan Di Semua Negeri Kecuali Sabah

KUALA LUMPUR: Status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang ditukar kepada PKP Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa 5 hingga 18 Mac.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan hanya membenarkan rentas daerah, manakala rentas negeri masih tidak dibenarkan.

“Selain itu, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak kekal kepada PKPB.

“Enam negeri PKPB iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya dan Labuan ditukar status daripada PKPB kepada PKP Pemulihan (PKPP).

“Sementara Perlis kekal sebagai negeri berstatus PKPP,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada 11 Januari lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP 2.0 bermula 13 hingga 26 Januari di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Turut diumum penguatkuasaan PKP Bersyarat (PKPB) di enam negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Sementara, PKP Pemulihan (PKPP) pula dilaksanakan di Perlis dan Sarawak.

PKP di tujuh negeri termasuk terbaru di Kelantan kemudiannya dilanjutkan lagi sehingga 4 Februari.

Pada 2 Februari, Ismail Sabri mengumumkan PKP yang sepatutnya berakhir 4 Februari dilanjutkan dua minggu lagi bermula 5 hingga 18 Februari di seluruh negara kecuali Sarawak yang dikuatkuasakan PKP Bersyarat (PKPB).

Pada 16 Februari Ismail Sabri mengumumkan PKP di empat negeri iaitu di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang diteruskan hingga 4 Mac.

Bagaimanapun, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah, Putrajaya dan Labuan ditukar kepada PKPB, manakala Perlis melaksanakan PKPP.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5665