Sabah FC Kembali Semula Dengan Maskot ‘Sang Badak’

Jersi baharu Sabah FC yang diperkenalkan hari ini. – Foto Sabah Football Association

KOTA KINABALU: Sabah Football Club (Sabah FC) hari ini secara rasmi mempertaruhkan semula maskot The Rhinos atau Sang Badak bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Maskot Sang Badak menggantikan ‘Tambadau’ yang digunakan pasukan berkenaan pada musim lalu dan diperkenalkan semula pada pelancaran jersi baharu Sabah FC musim 2021, yang diadakan secara maya petang ini.

Pasukan Sabah juga pernah menggunakan maskot helang atau SabahHawks pada 2010 hingga 2014 sebelum kembali kepada Sabah Rhino pada 2015 hingga 2018 dan Tambadau pada 2019 hingga 2020.

Jersi baharu Sabah FC yang diperkenalkan hari ini. – Foto Sabah Football Association

Kali ini, Sabah FC menampilkan jersi utama atau ‘home’ berwarna merah yang memaparkan imej kepala badak dan dinamakan The Rhinos.

Jersi kedua pula yang digunakan di tempat lawan menampilkan imej Gunung Kinabalu yang menjadi kebanggaan rakyat Sabah dikenali sebagai Blue Kinabalu.

Majlis pelancaran secara maya yang dihoskan pengacara Farish Aziz itu turut memaparkan rakaman ucapan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor; pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Khairul Firdaus Akbar.

Seramai tujuh pemain Sabah FC terdiri daripada Rawilson Batuil (ketua pasukan), Bobby Gonzales, Amri Yahyah dan Mohd Syukri Baharun bersama tiga penjaga gol, Rozaimie Rohim, Robson Rendy Rining dan Joslan Aping turut ditampilkan pada majlis itu.

Tidak ketinggalan, majlis itu turut diserikan dengan penampilan istimewa ketua jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto dan pengurus pasukan, Marzuki Nasir.

Sementara itu, Hajij dalam ucapannya menyatakan harapan agar pengurusan Sabah FC dan pemain dapat memberikan komitmen tinggi bagi menjulang nama Sabah dalam sukan bola sepak di negara ini.

“Saya yakin kita boleh, The Rhino boleh, Sabah FC boleh. Kita yakin Sabah akan mendapat tempat dalam Liga Malaysia tahun ini,” kata.

Bagi Bung Moktar, beliau yakin dengan prestasi pasukan Sabah FC kali ini lebih baik berbanding musim lalu dan mampu meletakkan Sabah di kedudukan yang baik.

“Berdasarkan persiapan dan perancangan baik dalam kalangan pemain, kita dapat mempamerkan permainan matang yang boleh memberikan cabaran kepada kawan dan lawan nanti,” katanya.

Bagi meniup semangat Sabah FC pada musim ini, pasukan itu turut memperkenalkan lagu tema bertajuk ‘Team Kami’ nyanyian K-Clique hasil ciptaan Anas Amdan, Sa.tugram dan K-Clique sendiri.

Sabah FC turut menawarkan jersi baharu pasukan kepada peminatnya dengan harga RM109 yang boleh dibeli secara dalam talian di website Maxumax, www.maxumax.my bermula hari ini atau di Sabah FC Shopee dan outlet ASK Creative bermula 8 Mac ini. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1909