Vaksin Covid-19: Warganegara Di Sabah Diberikan Keutamaan

Pesawat khas yang membawa kumpulan pertama bekalan vaksin Pfizer-BioNTech untuk Sabah selamat mendarat di KKIA pada Khamis. – BERNAMA

SANDAKAN: Warganegara di Sabah akan diberi keutamaan suntikan vaksin COVID-19 sebelum ia diberi kepada warga asing.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan memaklumkan, walaupun warga asing di negeri itu perlu diberikan vaksin bagi mengurangkan risiko jangkitan, rakyat tempatan akan diberi keutamaan.

Justeru, kaedah pemberian vaksin akan difikirkan termasuk berbicang bersama majikan yang menggaji pekerja warga asing.

“Kita utamakan warganegara dahulu, yang bukan warganegara kita akan fikir kaedah sesuai untuk mereka.

Datuk Yakub Khan

“Sudah tentu mereka perlu diberikan vaksin kerana jika kita hanya berikan suntikan vaksin kepada rakyat kita sahaja, risiko jangkitan itu masuh berkemungkinan akan berlaku,” beliau berkata demikian dalam sidang media, sempena lawatan kerja di Sandakan.

Dalam pada itu, Yakub menyeru rakyat Sabah memohon agar diberikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

“Semua warganegara di Sabah ini wajib menerima vaksin, jadi saya sarankan masyarakat di luar sana supaya jangan bimbang atau takut.

“Kita akan buat yang terbaik untuk rakyat Sabah dan saya juga menyeru untuk lakukan pendaftaran vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera,” tambahnya.

Pada Khamis, sebanyak 16,380 dos vaksin COVID-19 tiba di negeri itu dan akan diberikan kepada petugas barisan hadapan terlebih dahulu.

Vaksin kepada Rakyat Sabah pula akan diberikan dalam fasa kedua yang dijangka diterima pada 4 Mac ini. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1935