Boleh Dikenakan Tindakan Jika Gagal Hadir Vaksinasi – Noor Hisham

Kempen imunisasi kebangsaan bermula minggu ini dengan suntikan vaksin untuk pekerja barisan hadapan.

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah tidak menolak kemungkinan tindakan diambil terhadap mereka yang gagal hadir untuk mendapat suntikan vaksinasi Covid-19.

Katanya, di negara lain, ada rakyatnya yang didenda kerana memotong barisan untuk disuntik vaksin. Namun katanya pihaknya lebih cenderung menggunakan kaedah memujuk.

Beliau menambah, kementerian mungkin mengguna pakai amalan di negara lain yang menyuntik vaksin untuk orang lain contohnya pekerja barisan hadapan seperti anggota polis atau tentera jika ada individu yang gagal hadir untuk menerima suntikan.

“Dengan cara itu, vaksin berkenaan tidak akan dibazirkan,” katanya dengan menambah pihaknya juga akan meneliti langkah lain bagi mengelak pembaziran.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata kerajaan yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengagihkan vaksin itu dan tiada firma swasta yang diberikan lesen untuk “menjual serta mengkomersialkan” vaksin berkenaan.

Beliau berkata, sekalipun hospital swasta melaksanakan vaksinasi, sumbernya tetap dari Putrajaya

“Kami tidak mahu mengkomersialkan vaksin kerana bimbang ada yang ‘memotong barisan’ atau kemungkinan vaksin palsu.”

Menurutnya, Interpol telah memaklumkan menteri kesihatan mengenai wujudnya vaksin palsu.

Selain itu, Noor Hisham berkata kerajaan juga tidak mempertimbangkan untuk mengkomersialkan vaksin berkenaan walaupun ada pihak menganggap itu dapat membantu Malaysia mencapai imuniti kelompok dengan lebih cepat.

“Jika tidak mereka yang kaya akan menerima vaksin manakala yang miskin ketinggalan,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan mengenai keberkesanan berbeza antara vaksin digunakan.

Katanya, semua vaksin telah diluluskan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) sebelum diagihkan, dengan yang pertama antaranya keluaran Pfizer kerana syarikat itu telah bertindak awal untuk mendapat kelulusan.

“Amat mencabar dari segi logistik sekiranya orang ramai boleh memilih vaksin dikehendaki.

“Namun percayalah vaksin telahpun diluluskan. Ini bukan ujian klinikal. NPRA bertanggungjawab memastikan semua vaksin mematuhi keperluan keselamatan dan keberkesanan.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5151