Lelaki Ditahan Bersama Dadah Bernilai RM11,971.80

KOTA KINABALU: Seorang pengedar dadah warga tempatan ditahan pada Khamis bersama dadah pelbagai jenis yang bernilai RM11,971.80.

Tangkapan ke atas lelaki berusia 27 tahun itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu pada 5.30 petang di sebuah kondominium di bandaraya ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek mendapati terdapat sepaket plastik dadah jenis ketamine di dalam poket seluar yang dipakai oleh suspek.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di rumah suspek menemukan enam paket plastik dadah jenis ketamin, tujuh paket plastik pelbagai warna mengandungi dadah jenis juice dan sepaket plastik berisi dadah jenis ecstasy yang disembunyikan di ruang tamu dan di dalam bilik utama rumah.

“Hasil siasatan awal, kesemua dadah yang dirampas adalah untuk diedarkan kepada pengedar di sekitar Kota Kinabalu.

“Keseluruhan rampasan dadah adalah sebanyak 87.89 gram ketamine, 6,38 gram serbuk ecstacy dan 781.59 gram serbuk juice yang dianggarkan bernilai RM11,971.80 mengikut harga pasaran. Ia berupaya memenuhi hampir 1,051 orang penagih dalam satu-satu masa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Habibi berkata, suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadi dalang kepada sindiket pengedaran dadah dengan menghantar bekalan syabu kepada pengedar dimana suspek, menjadi orang tengah di antara sindiket dan pengedar kecil di Kota Kinabalu.

Katanya, suspek mendapat upah sebanyak RM5,000-RM 6,000 sebulan bergantung kepada permintaan dadah. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

6784