Kota Kinabalu Akhirnya Catat Satu Angka Kes Positif Covid-19

KOTA KINABALU: Kes positif baharu di Sabah menurun kepada 93 kes, hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, hanya tiga daerah yang mencatatkan kes baharu dengan dua angka sementara, 13 daerah lagi mencatatkan satu angka.

Buat kali pertama Kota Kinabalu mencatatkan kes baharu satu angka sejak gelombang ketiga pandemik Covid-19 melanda negeri Sabah.

Beliau berkata, daripada 93 kes baharu hari ini, Nabawan mencatatkan kes tertinggi dengan 24 kes, diikuti dengan Keningau (17), Tawau (12), Lahad Datu (7), Pitas (6), Kalabakan (5), Kota Kinabalu (4) dan tiga kes di Tuaran, Sandakan, Putatan dan Kota Marudu.

Manakala, dua kes di Kudat dan satu kes masing-masing di Penampang, Kinabatangan, Beluran dan Semporna.

Menurutnya, daripada 93 kes positif itu, sebanyak 45 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 12 kes, saringan kluster sedia ada 31 kes dan lima kes adalah dari lain-lain kategori.

Kes pulih yang dilaporkan hari ini sebanyak 127 kes dengan bilangan kumulatif 51,052 kes. Manakala, kematian di Sabah kekal 371 kes.

Setakat ini, sebanyak 52,446 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 785 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 285 orang di hospital dan 492 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) serta 10 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara.

Terdapat 41 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 12 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah 5,698 katil dan peratus penggunaan adalah 13.78 peratus.

Sepanjang tempoh 24 jam, sebanyak 30,574 kenderaan diperiksa dalam sekatan jalan raya (SJR) yang dilakukan di seluruh Sabah dan 28 buah kenderaan diarah berpatah balik. Manakala, 40 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5149