KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan tidak akan menahan mana-mana warga asing tidak berdokumen yang tampil menjadi penerima vaksin COVID-19.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata pembabitan warga asing tidak berdokumen sebagai penerima vaksin penting dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, khususnya untuk memastikan Malaysia mencapai perlindungan imuniti kelompok.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan mendapatkan bantuan badan antarabangsa, organisasi masyarakat sivil dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyampaikan mesej itu kepada warga asing tidak berdokumen di negara ini.
“Kita sedar migran tanpa dokumen bimbang ditahan jika tampil untuk menerima vaksin dan kita sedang cuba menyampaikan mesej mereka tidak akan ditahan.
“Kita akan bekerjasama dengan organisasi antarabangsa seperti Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), dan organisasi masyarakat sivil serta NGO untuk berhubung dengan migran tanpa dokumen.
“Kita mahu mereka divaksin kerana ini penting dalam strategi memastikan imuniti kelompok berjaya dicapai,” katanya pada sidang media selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Khairy memaklumkan, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan badan antarabangsa dan NGO dalam masa terdekat untuk berbincang mengenai perkara itu.
“Dr Jemilah (Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood) yang terbabit dengan aktiviti kemanusiaan juga akan berhubung dengan NGO.
“Kerjasama ini adalah bagi mewujudkan pelan meyakinkan bagi memastikan migran tanpa dokumen akan tampil menerima vaksin, selain memberi jaminan mereka selamat daripada ditahan,” katanya. – BH Online
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost