Sekeluarga Di Papar Berdepan Risiko Rumah Runtuh

Kawasan tebing sungai yang terhakis semakin hampir dengan rumah Shaiful yang didiaminya bersama isteri dan lima anaknya. (Gambar ihsan penduduk kampung)

KOTA KINABALU: “Setiap kali hujan lebat, hidup kami diselubungi kerisauan, kawasan tebing sungai terhakis sedikit demi sedikit dan tidak mustahil satu hari nanti rumah kami akan runtuh,” demikian keluhan Saiful Azrul Sapar, penduduk di Kampung Kawang, Papar yang rumahnya terdedah kepada bahaya akibat hakisan pada tebing sungai berhampiran kediamannya.

Saiful berkata, kejadian itu mula berlaku awal tahun lalu selepas dua rumpun buluh berhampiran sungai terbabit runtuh akibat hakisan tanah sehingga mengakibatkan aliran sungai itu tersekat.

“Selepas kejadian itu, kami menghubungi pihak APM (Angkatan Pertahanan Awam) dan bergotong-royong bersama keluarga untuk memotong buluh yang terjatuh ke dalam sungai itu.

“Buluh itu sebenarnya kami sudah potong tapi akarnya yang besar masih lagi berada di dalam air dan itulah sebabnya aliran sungai berubah dan ‘melanggar’ tebing berhampiran rumah saya.

“Setiap kali air pasang atau apabila hujan, air sungai menghakis tanah di situ sedikit demi sedikit, kini kawasan tebing yang terhakis itu semakin hampir dengan rumah saya,” katanya.

Saiful berkata, jarak kawasan tebing yang terhakis dari rumahnya itu kini hanya sejauh kira-kira tiga meter dan sekiranya tiada tindakan segera oleh pihak berwajib, dia bersama isteri dan lima anaknya sering terdedah kepada bahaya.

Katanya, dia sudah beberapa kali membuat aduan kepada wakil rakyat di situ dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah namun sehingga kini tindakan masih belum dibuat.

“Sebelum ini ada beberapa kali pihak dari JPS datang meninjau, menyukat dan sebagainya tetapi apa yang saya diberitahu hanyalah menunggu.

“Tunggu punya tunggu sampai sekarang belum juga ada tindakan, sebelum ini saya diberitahu tindakan akan diambil pada Feb tapi baru-baru ini saya diberitahu Mac pula,” katanya.

Sehubungan itu, Shaiful berharap masalah itu akan dapat diselesaikan segera kerana ia membabitkan keselamatan dan nyawa keluarganya.

“Saya berterima kasih juga kepada pihak JPS yang datang melihat keadaan sekitar rumah saya tetapi kalau boleh tindakan susulan dibuat segera kerana kami telah lama menunggu.

“Wakil rakyat di sini pun sebelum ini beritahu akan datang meninjau kawasan hakisan itu tetapi sampai sekarang, dari kerajaan dulu hingga kerajaan baharu, langsung tidak muncul,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *