Pelajar Kolej Vokasional Keningau Banggakan Malaysia

Ryan Derrick Siggoh dan Nezatul Fazlyin Zainal

KENINGAU: Dua pelajar dari Kolej Vokasional Keningau, Nezatul Fazlyin Zainal dan Ryan Derrick Siggoh, telah terpilih untuk mewakili Malaysia sebagai pembentang pertama bagi sesi sulung SEA Vocational-Technical Webinar anjuran SEAMEO TED yang berpusat di Phnom Penh, Kemboja, pada 3 Mac 2021.

Program latihan dalam talian tersebut merupakan program bersiri yang melibatkan institusi-institusi vokasional di kesemua negara di Asia Tenggara.

KV Keningau merupakan institut pertama dari rantau ini yang akan membuka tirai webinar bersiri itu dengan menampilkan dua pelajar beserta seorang guru yang akan berkongsi ilmu, amalan dan idea yang boleh dimanfaatkan dalam bidang kemahiran.

Sesi pembentangan pasukan ini akan disusuli oleh beberapa pembentangan dari institut-institut kemahiran di negara Filipina dan Indonesia.

SEAMEO TED (Technical Education) merupakan salah satu cabang pertubuhan serantau Southeast Asian Ministers of Education Organization (SEAMEO). SEAMEO TED baru sahaja ditubuhkan dengan kerjasama kementerian pendidikan Kemboja pada tahun lepas dan ianya dikhususkan untuk pendidikan teknikal dan vokasional.

Program webinar bersiri ini merupakan projek pertama hasil dari perbincangan antara institut-institut terlibat. Kedua-kedua pelajar yang akan mewakili KV Keningau mempunyai pengalaman membentang dan berucap di persidangan antarabangsa.

Nezatul Fazlyin Zainal merupakan rakyat Malaysia yang pertama terpilih untuk berucap di Youth STEM Summit yang dilaksanakan secara maya oleh sebuah persatuan belia di Britain pada tahun 2020.

Manakala Ryan Derrick Siggoh beserta seorang rakan kelasnya pernah mewakili kolej tersebut membentang projek mereka di persidangan maya anjuran sebuah universiti di Indonesia pada tahun lepas.

Pengarah KV Keningau, Encik Johari @ Jaibet Bin Sabin, melahirkan rasa bangga dengan pencapaian pelajar-pelajar ini yang mampu memartabatkan pendidikan vokasional di Malaysia.

Dia berharap agar pasukan ini berjaya melaksanakan tanggungjawab sebagai pembentang pertama bagi sesi sulung webinar tersebut dengan cemerlang.

Para pelajar KV Keningau pernah membentang projek di persidangan dan pertandingan inovasi di benua Asia, Oceania, Eropah serta Afrika secara bersemuka dan maya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *