UMNO Di Sabah Masih Relevan

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin

KOTA KINABALU: UMNO masih kukuh dan kekal relevan dalam memperjuangkan nasib rakyat Sabah serta melakar lebih banyak perubahan selepas 30 tahun mengembangkan sayap ke negeri itu.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata tanggapan pihak lawan yang mendakwa UMNO semakin lemah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah tidak benar.

Sebaliknya, beliau berkata, UMNO Sabah membuktikan ia masih diterima rakyat negeri ini selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, pada Januari tahun lalu dan dikukuhkan lagi dengan kemenangan 14 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16), September tahun lalu.

“UMNO Sabah pernah melalui pelbagai krisis, dugaan, cabaran dan rintangan, malah lebih menyedihkan apabila 22 pemimpinnya termasuk ketua bahagian, timbalan ketua bahagian dan pergerakan wanita serta pemuda keluar parti beramai-ramai pada 2018.

“Ketika itu UMNO Sabah dianggap sudah tidak wujud dan saya diberi amanah oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memimpin parti itu di Sabah,” katanya dalam kenyataan sempena ulang tahun ke-30 UMNO Sabah yang disambut esok.

UMNO secara rasmi melebarkan sayap ke Sabah pada 21 Februari 1991 menerusi pembubaran Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dengan bekas pemimpin dan ahli USNO secara automatik menjadi ahli UMNO.

Kemasukan UMNO ke Sabah pada waktu itu bertujuan mengukuhkan Barisan Nasional (BN) Sabah dalam usaha untuk merampas semula kerajaan negeri yang ketika itu di bawah pembangkang pimpinan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata situasi ketika awal kemasukan UMNO jauh berbeza berbanding ketika beliau mengambil alih kepemimpinan UMNO Sabah pada akhir 2018.

“Ketika awal kemasukan UMNO ke Sabah, ia dilihat sebagai harapan baharu menyatukan rakyat Sabah bagi mewujudkan kestabilan politik di negeri ini dan membuka jalan untuk pembangunan dalam semua aspek.

“Keadaan ini berubah selepas kekalahan BN di tangan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang disokong beberapa pemimpin BN untuk membentuk kerajaan negeri selepas PRU-14 .

“UMNO Sabah semakin tertekan apabila beberapa pemimpin UMNO di Semenanjung menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan sindrom itu menular ke Sabah,” katanya.

Namun, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, beliau tidak mengalah dengan situasi itu, malah terus berusaha meyakinkan akar umbi UMNO di Sabah bahawa parti itu mampu bangkit semula dengan sokongan ahli dan pemimpin yang masih setia.

Katanya, PRN-16 pada September lalu membuktikan kebangkitan semula UMNO Sabah selepas hanya tinggal seorang wakil rakyat UMNO dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ketika WARISAN memerintah sebelum ini.

“Walaupun UMNO hanya menang 14 daripada 31 kerusi yang ditandingi pada PRN itu, ia adalah petunjuk positif bahawa UMNO BN masih diterima oleh rakyat Sabah dan menyumbang kepada kejayaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membentuk kerajaan negeri,” katanya.

Bung Moktar yakin sokongan rakyat akar umbi terhadap UMNO Sabah terus bertambah selepas ini dan beliau memberi jaminan parti itu terus kekal dengan perjuangan berpaksikan kepentingan rakyat.

Satu majlis sambutan ulang tahun ke-30 UMNO Sabah dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dijadual diadakan di Bangunan UMNO Sabah malam ini, dijangka turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *