Suami Isteri Ditahan Miliki Dadah

Pasangan suami isteri ditahan miliki syabu.

KALABAKAN : Sepasang suami isteri warga asing disyaki penagih dadah ditangkap oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) di dua lokasi berasingan, di sekitar Ladang Bukit Tukok Batu 3, di sini.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, DSP Abd Halim Ahmad berkata pasukannya yang menjalankan tugas di Road Check Point (RCP) kira-kira jam 10 malam telah menahan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di simpang empat ladang tersebut.

“Hasil pemeriksaan awal, lelaki berumur 31 tahun itu merupakan seorang warga asing dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk tinggal di negara ini.

Dadah jenis syabu yang berjaya dirampas pasukan PGA.

“Pemeriksaan lanjut, lelaki terbabit memiliki tiga paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 1.5 gram,”katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Mengulas lanjut, hasil maklumat yang diterima, pasukan polis telah membuat serbuan ke atas sebuah rumah kongsi tidak bernombor di ladang yang sama.

“Dalam serbuan tersebut, pasukan polis berjaya menahan seorang perempuan warga asing berumur 26 tahun dipercayai isteri kepada suspek tangkapan pertama dan didapati juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. 

“Hasil pemeriksaan di sekitar rumah suspek berjaya menjumpai satu paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 1.1 gram,”katanya.

Abd Halim berkata, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1771