Warga Asing Guna MyKad Orang Lain Ditahan

Lelaki miliki MyKad orang lain ditahan dalam Operasi Bersepadu di Inanam. – Foto Juwan Riduan

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing yang memberikan kad pengenalan milik orang lain ketika diperiksa polis ditahan selepas wajahnya didapati berbeza dengan gambar pada MyKad berkenaan.

Lelaki terbabit antara yang ditahan dalam operasi bersepadu cegah jenayah diketuai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di pekan Inanam, di sini, hari ini.

Dalam operasi jam 3 petang, lelaki terbabit yang pada awalnya memberikan kad pengenalan berkenaan ketika pemeriksaan akhirnya mengaku baharu sahaja menemui dokumen itu.

Tidak cukup dengan itu, lelaki berusia 40-an terbabit turut memberitahu dia juga berhasrat untuk menyerahkan MyKad terbabit kepada pihak berkuasa tetapi tidak kesampaian apabila ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, dalam operasi itu, polis berjaya menahan 11 individu membabitkan penjual rokok dan pendatang asing tanpa izin (Pati).

Katanya, empat yang ditahan kerana memiliki dadah jenis syabu manakala dua individu lagi didapati positif dadah.

“Kita juga berjaya menahan seorang lelaki kerana memiliki 125 karton rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM3,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Mereka yang ditahan 20 hingga 40-an dan dikesan terbabit dalam aktiviti menyalahi undang-undang dan jenayah,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan, hari ini.

Habibi berkata, operasi bersepadu diketuai Polis Diraja Malaysia itu dijalankan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Sukarelawan Malaysia membabitkan kekuatan 100 petugas. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *