Boleh Makan Di Restoran Ikut Saiz Meja, Penumpang Ikut Kapasiti Kenderaan

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan membenarkan jumlah penumpang berdasarkan kapasiti kenderaan dinaiki, mulai esok.

Selain itu, kerajaan membenarkan pelanggan untuk menikmati hidangan di restoran mengikut saiz atau kapasiti meja makan dengan syarat ada penjarakan fizikal 1 meter.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran itu untuk semua kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

“Kita mendengar pandangan dan rayuan ramai supaya membenarkan jumlah penumpang mengikut tempat duduk kenderaan, maka mesyuarat teknikal hari ini bersetuju membenarkannya.

“Jumlah penumpang mengikut kapasiti kenderaan itu dibenarkan di semua kawasan termasuk di PKP,” katanya pada sidang media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, sebelum ini, makan di kedai kawasan PKP hanya dua orang satu meja dibenarkan manakala PKPB dan PKPP mengikut kapasiti meja makan.

Menurutnya, mesyuarat hari ini bersetuju semua kawasan dibenarkan makan di kedai berdasarkan keluasan meja makan mulai esok.

Bagaimanapun, katanya, ia mestilah mempunyai penjarakan fizikal satu meter antara pelanggan dan meja. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *