Dua Kampung Di DUN Tanjung Batu Bakal Digezetkan Sebagai Perkampungan Rasmi

Andi Muhamad Suryadi Bandi

TAWAU: Lebih 1,000 penduduk Kampung (Kg) Muara dan Otentik di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu boleh menarik nafas lega selepas kawasan tersebut sudah dimohon untuk digezetkan sebagai perkampungan yang rasmi.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhamad Suryadi Bandi berkata pihaknya juga sudah mengadakan mesyuarat dalaman jawatankuasa pewartaan peringkat DUN Tg Batu bertujuan mengenal pasti kampung-kampung yang bakal digezetkan.

“Perancangan DUN Tg Batu mahu mewujudkan lebih banyak kawasan perkampungan yang sebelum ini dikategorikan sebagai setinggan menjadi sebuah perkampungan yang digezetkan, selain menyusun semula kediaman tersebut supaya lebih tersusun dan selamat.

Kg Otentik bakal digezetkan sebagai perkampung rasmi dan akan disusun supaya lebih teratur.

“Dalam tempoh suku pertama ini, permohonan untuk Kg. Muara dan Kg.Otentik sudah dilakukan manakala kawasan lain akan menyusul tidak lama lagi,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa memulakan penyampaian bakul makanan kepada 2664 ketua isi rumah B40 untuk Parlimen Kalabakan, di Dewan OT Jantan, Taman Ria 6, di sini semalam.

Menurutnya, pengezetan kampung-kampung di bawah DUN Tg Batu merupakan keprihatinan pihak kerajaan yang mahukan setiap rakyatnya memiliki sebuah kediaman yang lebih baik.

“Masalah setinggan di DUN Tg Batu merupakan isu yang agak lama yang menyebabkan banyak penempatan tersebut sukar untuk dibangunkan dengan lebih teratur dan tersusun.

“Selain itu, kita juga akan membuat permohonan penempatan-penempatan baharu yang digezetkan sebagai kampung supaya lebih ramai penduduk dapat memiliki kediaman sendiri,”katanya.

Suryadi menyerahkan bantuan bakul makanan kepada penduduk di Parlimen Kalabakan.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu turut menjelaskan mengenai isu tanah di Kg Kukusan yang tular baru-baru ini bahawa masalah itu sudah diselesaikan secara aman.

“Melalui perbincangan bersama sebelum ini, pemilik tanah tersebut telah memberikan kata putus untuk memberi kelonggaran kepada penduduk kampung supaya menyewa tanah tersebut.

“Kedua-dua pihak sudah bersetuju dengan keputusan itu dan berharap penduduk kampung sentia

Mengulas mengenai bantuan bakul makanan tersebut, beliau berkata bantuan tersebut merupakan inisiatif pihak kerajaan negeri untuk membantu rakyat yang terjejas susulan pandemik COVID-19.

“Bantuan ini merupakan tambahan bakul makanan yang diberikan kepada golongan B40 kerana sebelum ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa dua, kerajaan sudah mengagihkan bantuan yang sama kepada mereka yang berdaftar dengan e-Kasih.

“Bakul makanan ini akan diagihkan secara berperingkat dan kerajaan negeri akan memastikan semua rakyatnya tidak terlepas menerima bantuan tersebut,”katanya.

Suryadi berharap semua penduduk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya wabak dapat dikawal dan seterusnya kehidupan kita kembali seperti sedia kala. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *